Isu pengambilan pelajar: Kuin dikompaun RM272,000

Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dikompaun RM272,000 kerana mengambil 34 pelajar di bawah kelayakan syarat masuk yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Profesor Datuk Dr Rujhan Mustafa berkata kompaun itu perlu dilunas sebelum 26 Mac ini, dan jika gagal, secara automatik tanpa notis, tindakan undang-undang akan diambil terhadap Kuin.

"Jika sabit kesalahan, pihak Kuin boleh dikenakan denda RM50,000 bagi setiap pelajar dan setakat ini, pengurusan Kuin berjanji akan menjelaskannya," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan mengejut ke kolej itu di Mergong hari ini.

Beliau berkata 34 pelajar berkenaan sedang mengikuti kursus Pengajian Islam yang masuk di bawah kelayakan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Rujhan berkata lawatan mengejut itu dibuat berdasarkan Seksyen 3(3) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, yang membolehkan beliau selaku Ketua Pendaftar, antaranya, membuat penguatkuasaan ke atas mana-mana IPTS untuk memasuki premis, memeriksa, menyiasat salah laku (dan aduan), memeriksa, meminta dan mengalih dokumen atau membatalkan pendaftaran.

Mengulas pertemuan dengan Rektor Kuin Profesor Datuk Dr Jamil Osman selama lebih kurang dua jam, Rujhan berkata pihaknya turut meneliti aliran tunai kolej itu bagi 2007 hingga 2010 dalam laporan teraudit, dan mendapati ia adalah negatif.

"Pihak pengurusan Kuin memaklumkan bahawa laporan teraudit untuk 2011 adalah positif tetapi masih belum menyerahkan kenyataan bertulis kepada kami, dan kami meminta mereka berbuat demikian dengan segera.

"Kita memaklumkan supaya pengurusan Kuin berbincang dengan Pengerusi Lembaga Pengarah, yang juga Menteri Besar Kedah, supaya meneliti perkara ini dengan segera kerana aliran tunai yang positif sangat penting bagi sesebuah IPTS," katanya.

Selain itu, Rujhan berkata mereka membincangkan aduan yang telah dibangkit pihak dalaman Kuin sendiri seperti kelewatan pembayaran gaji lambat, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta pembayaran pinjaman bank yang tidak mengikut bulan tertentu sehingga menjejas kebajikan staf.

"Kita dimaklumkan bahawa tunggakan bayaran itu telah diselesaikan sehingga  Januari secara lisan, dan meminta pihak Kuin memberi kenyataan bertulis secepat mungkin.

"Kita juga memberi peringatan kepada Kuin supaya mengambil berat tentang  kebajikan staf agar moral staf tidak terjejas kerana IPTS bergantung kepada tenaga pengajar," katanya.

Rujhan berkata pengurusan Kuin juga perlu bersikap terbuka serta lebih berlapang dada apabila warga kerjanya menyuarakan sebarang rasa tidak puas hati dan menyelesaikannya secara duduk bersama serta berbincang.

Mengulas isu asrama di kampus induk Kuin Kuala Ketil, beliau berkata pihaknya memberi tempoh sehingga 17 Mac ini pihak berkenaan menyediakan penginapan pelajar itu, selepas tujuh minggu pengajian tertangguh.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.