Menteri Pertahanan Datul Seri Zahid Hamidi menjelaskan , Malaysia menyifatkan tindakan penceroboh militan 'sultan Sulu' di pantai timur Sabah sebagai "menyerupai pengganas" demi hubungan diplomatik dengan Filipina.
"Ada protes daripada Kementerian Luar Filipina yang menyatakan istilah pengganas tidak dapat diterima oleh mereka.
"Mereka beersetuju, kita menggunakan penceroboh militan, tapi tindakan (mereka) itu menyerupai pengganas.
"Jadi, ini cuma istilah-istilah diplomatik. Saya fikir sesiapa yang menceroboh negara kita dengan menggunakan senjata, tindakan mereka itu menyerupai pengganas," katanya dalam sidang media.
Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan mengenai arahan oleh Jawatankuasa Keselamatan Sabah, yang dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, agar media menggelarkan kumpulan militan berkenaan sebagai "pengganas".
Ahmad Zahid diminta menjelaskan perkara itu memandangkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin dalam laporan sebelum ini berkata penceroboh di Lahad Datu tidak anggap sebagai pengganas.
Tambahnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menetapkan kepada Presiden Filipina Benigno Aquino III bahawa kumpulan penceroboh itu perlu meletak senjata tanpa syarat.
"Tetapi sekarang mereka tidak menunjukkan tanda-tanda untuk meletakkan senjata. Jika letak senjata beramai-ramai tentulah, tindakah selanjutnya akan dilakukan.
"Apabila kepastian diperolehi bahawa meraka menghentikan sepenuhnya tindakan militan, maka kita boleh mengambil tindakan selanjut seperti mengambil tindakan undang-undang," katanya.
Menurutnya pihak keselamatan sehingga kini masih bertindak balas dengan penceroboh yang memulakan pertempuran.
