Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi hari ini turut menafikan dakwaan yang dilaporkan media Filipina bahawa pasukan keselamatan membunuh warga negara itu di Sandakan.

Dakwaan berkenaan satu "tuduhan yang melulu" kata Zahid yang menjelaskan maklumat yang diperolehinya dari PDRM menyatakan bahawa tindakan berkenaan tidak berlaku di kawasan yang didakwa.

"Apa yang berlaku adalah (operasi) pembersihan daripada unsur-unsur adanya tali barut bagi penceroboh militan berkenaan.

"Sudah tentu, sekiranya pembunuhan dilakukan, maka polis dan tentera akan mengumumkan pembunuhan itu, (yang) berlaku di luar operasi.

"Pada masa ini, kita menumpu kepada tiga kawasan iaitu di Tanduo, Tanjung Labian dan Tanjung Batu. Selain daripada itu, ia adalah aktiviti operasi biasa," katanya.

Tambahnya, tiada kematian berlaku di kawasan selain daripada yang disebutkannya.

Ketua polis Sabah Datuk Hamza Taib semalam turut menafikan dakwaan yang disiarkan The Philippine Inquirer itu.

Portal berita itu Sabtu lalu melaporkan pasukan keselamatan Malaysia mengheret lelaki Filipina keluar dari rumah mereka di Sandakan dan menyuruh individu berkenaan melarikan sebelum melepaskan tembakan ke atas lelaki berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS