NGO pro-Pakatan Rakyat Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menuntut ganti rugi dan pampasan RM5 juta daripada Utusan Malaysia selepas pengerusinya Badrul Hisham Shaharin didakwa menjadi mangsa fitnah akhbar itu.
Notis tuntutan guaman itu diserahkan kira-kira jam 1 petang ini antaranya mendakwa
Utusan
membuat "fitnah jahat" terhadap Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegubard berhubung Himpunan Kebangkitan Rakyat 12 Januari lalu.
Notis bertarikh 7 Mac itu menamakan Ketua Pengarang Utusan Melayu Malaysia Berhad dan wartawan yang menulis rencana tersebut Mohd Asron Mustapha. Badrul diwakili oleh Tetuan Sazali & Lim.
Dalam artikel yang bertajuk "Medan Perah Duit Rakyat" yang disiarkan oleh Utusan Online pada 14 Januari lalu pada peranggan 13 menyebut:
"Apa yang menimbulkan persoalan ialah CheguBard (Badrul Hisham Shaharin) sebelum itu telah membuat pengumuman pada awal majlis bahawa kutipan derma pada malam menjelang Himpunan Shamsidar ialah RM30,000".
Utusan Malaysia
menamakan Himpunan Shamsidar bagi Himpunan Kebangkitan Rakyat.
Sehubungan itu, dalam notis tersebut kandungan rencana tersebut "tidak benar, merupakan manipulasi dan putar belit serta terjumlah kepada fitnah jahat" terhadap pemimpin PKR itu.
"Pemaparan dan/atau penyiaran ayat-ayat perkataan-perkataan yang bersifat fitnah itu telah menyebabkan reputasi dan/atau maruah pelanggan kami diprejudiskan serta dipandang rendah oleh masyarakat di samping menyebabkan pelanggan kami dan keluarga dimalukan serta mengalami tekanan perasaan," notis tuntutan itu dipetik.
Mengulas perenggan dalam artikel akhbar tersebut, Badrul menafikan beliau berucap pada perhimpunan yang dihadiri kira-kira 100,000 di Stadium Merdeka.
"Saya langsung tidak berucap pada hari tersebut dan tidak menyebut jumlah yang terkutip... Saya langsung tak berucap, tetapi bagaimana nama saya disebut," katanya dalam sidang media di ibu negara pagi ini.
"Saya (didakwa) berucap menyatakan jumlah kutipan RM30,000. Jumlah itu pun tidak betul, malah ia jauh lebih rendah daripada itu".
Badrul berkata pada Februari lalu, beliau telah menghantar emel kepada
Utusan Malaysia
supaya menarik balik dan memohon maaf berhubung laporan tersebut tetapi tiada maklum balas.
Kemudian, pihaknya telah menghantar notis tersebut pada 7 Mac tetapi dimaklumkan pihak akhbar tersebut enggan menerima notis tersebut.
"Selepas ini kita akan menghantar melalui serahan tangan kepada Utusan di Jalan Chow Sow Lin. Kita tidak akan balik selagi mereka tidak menerimanya," katanya.
Selain memohon Utusan membayar ganti rugi dan pampasan, dalam notis itu Badrul turut menuntut permohonan maaf "tanpa reservation " disiarkan di muka depan Utusan versi cetak dan atas talian selama tiga hari berturut-turut, menarik balik artikel itu dan tidak menyiarkan kembali perkara yang sama.
Dalam notis itu, Badrul menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar tersebut dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan notis itu.
"Sekiranya tindakan undang-undang diambil, segala kos dan perbelanjaan mahkamah hendaklah ditanggung oleh pihak tuan sepenuhnya," surat itu dipetik.
