Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Anak syarikat Boustead Holdings Berhad, milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), membayar bon  tanah berjumlah RM87 juta milik syarikat seorang pemimpin Umno yang telah luput bagi projek Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), dakwa PKR.

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli berkata bon yang telah luput itu sepatutnya ditanggung oleh syarikat  Awan Megah Sdn Bhd - milik ketua Wanita Umno Selangor, Raja Ropiaah Raja Abdullah - sebagai kontraktor projek berkenaan.

Susulan pengambilalihan syarikat Astacanggih Sdn Bhg milik ahli perniagaan Deepak Jaikishan tahun lalu, Rafizi menambah, perjanjian baru antara Bakti Wira Sdn Bhd dengan syarikat Awan Megah Sdn Bhd, anak syarikat Boustead itu kini menanggung bon tersebut.

NONE "Keadaannya seolah-olah pemilik projek Puspahanas (milik Kementerian Pertahanan) mengambil dana pesara tentera (dalam LTAT) untuk diberikan kepada kontraktor lantikannya (Awan Megah) bagi memberi jaminan kewangan agar projek itu siap," katanya dalam sidang medianya di pejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini.

Selain itu, dalam sidang media sama, Rafizi juga berkata, bon tanah milik Awan Megah yang bernilai lebih RM72 juta itu sebelum ini ditanggung dan dibayar oleh syarikat Astacanggih.

Bagaimanapun, dakwanya, usahasama antara Deepak dan Raja Ropiaah telah menemui jalan buntu dan bon tanah itu lupus begitu sahaja.

Rafizi menambah lagi, dengan kontrak tambahan yang dianggapnya sebagai  "durian runtuh" yang diperolehi Awan Megah daripada Bakti Wira bernilai RM15 juta, ia menjadikan jumlah bagi bon tanah tersebut berjumlah RM87 juta.

"Sehingga kini, bon tanah tersebut tidak diperbaharui oleh Awan Megah dan tiada sebarang tindakan yang diambil oleh Kementerian Pertahanan (iaitu pemilik projek) terhadap Awan Megah atau Raja Ropiaah. Ini menyalahi undang-undang dan peraturan perolehan negara," katanya.

Sehubungan itu, Rafizi berkata, Awan Megah sepatutnya digugurkan dari projek tersebut dengan serta-merta.

Katanya lagi, dengan membenarkan sejumlah wang tabung persaraan tentera digunakan untuk menyelamatkan Awan Megah, ia melanggar etika dan kebertanggungjawaban Kementerian Pertahanan.

"Sebagai menteri pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi wajib menjawab soalan-soalan ini. Beliau perlu menerangkan kepada anggota tentera apa istimewanya Awan Megah dan Raja Ropiaah sehinga sumber kewangan berkaitan Kementerian Pertahanan digunakan untuk menebus kegagalan Raja Ropiaah.

"Ini adalah sebahagian perkara yang akan dibawa ke mahkamah dalam kes saman beliau (Zahid Hamidi) terhadap saya.

"Saya bercadang untuk memastikan beliau menjawab di mahkamah kenapa beri layanan teristimewa pada Raja Ropiaah," katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS