Kerajaan seolah-olah cuba mengenakan pimpinan pembangkang apabila mendakwa MP Batu, Tian Chua, di bawah Akta Hasutan ketika pilihan raya semakin hampir, kata ahli jawatan kuasa pemandu BERSIH, Maria Chin Abdullah.

Menurutnya, langkah mendakwa Tian Chua itu mengejutkan ramai pihak dan diragui kerana individu lain yang membuat kenyataan terhadap insiden Lahad Datu tidak pula didakwa.

"Sama ada mereka mensasarkan pembangkang, kelihatannya begitulah.

"Orang lain juga memberi komen tentang Lahad Datu, tetapi mereka tak diseret sebegini rupa," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur tadi.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan ke atas Tian Chua itu, Maria berkata beliau berharap agar kes itu digugurkan bagi membolehkan seluruh rakyat Malaysia memberikan tumpuan kepada pilihan raya umum yang akan dilangsungkan pada bila-bila masa sahaja.

Sementara itu, kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LfL) mendakwa pemimpin kerajaan menjalankan kempen terancang untuk memburuk-burukkan naib presiden PKR Tian Chua melalui media sehingga menyebabkan MP berkenaan didakwa mengikut undang-undang hasutan.

Komen politik bukan satu jenayah

Penasihat LfL Eric Paulsen berkata tindakan berkenaan amat tidak bertanggungjawab dan menyimpang daripada isu yang dibangkitkan mengenai kejadian pencerobohan militan di Lahad Datu itu.

“Membuat komen bersifat politik atau kritikal bukan satu jenayah dan dan (tidanakan) mendakwa Tian Chua mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 adalah keterlaluan dan tidak masuk akal kerana hasutan adalah kesalahan yang lapuk dan tidak demokratik," katanya.

Malah kebanyakan negara moden telahpun memansuhkan atau tidak lagi menggunakan undang-undang itu, katanya.

“Jika mana-mana pihak berasa terkilan, prosedur sepatutnya adalah memfailkan saman fitnah sivil ke atas Tian Chua dan bukannya membuat pelbagai laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mendakwa, laporan Keadilan Daily yang memetik kenyataan Chua bertajuk 'Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang Umno – Tian Chua' itu juga “diperbesar-besarkan dan diputarbelit" oleh pemimpin kerajaan dan media aliran perdana.

“Tian Chua berulang kali menjelaskan bahawa konteks komennya itu merujuk kepada usaha Umno untuk mengalih perhatian rakyat ke atas suruhanjaya siasatan diraja mengenai pendatang tanpa izin Sabah, yang amat memudaratkan BN, dan cubaan untuk mengaitkan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dengan insiden Lahad Datu, dan bukannya (mendakwa) kematian itu satu konspirasi Umno”.

Dakwaan ke atas Chua itu bagaimanapun menerima sokongan dari NGO pro-kerajaan, Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM).

"Komen yang mempertikaikan pengorbanan murni pasukan polis dan tentera membersihkan bumi Sabah daripada pencerobohan boleh dianggap sama dengan perbuatan bersekongkol dengan mereka (penceroboh).

"KWMM berpendapat kenyataan yang menjurus kepada hasutan atau menghina pengorbanan pasukan polis dan tentera adalah satu bentuk pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan," kata presidennya, Dzulkarnain Taib dalam satu kenyataan.

Tian Chua pagi tadi mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 atas kenyataan yang didakwa disebutnya pada 11 pagi, 1 Mac lalu.

Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.