Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO lapor SKMM dakwa 'cyber troopers' pembangkang ekstrem

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya berhubung tindakan ekstrem 'cyber troopers' pembangkang yang didakwa menggunakan kata-kata kesat, menyebarkan fitnah, gambar lucah serta ugutan rogol dan bunuh di laman sosial Facebook.

    

Presiden Malaysian Youth Right Movement Shean Yee Aun berkata laporan kepada SKMM itu juga termasuk isu penyebaran gambar lucah dan tidak sopan yang diubahsuai dengan wajah pemimpin MCA di laman propembangkang di laman sosial itu.

    

"Ini merupakan perbuatan yang keterlaluan kerana terdapat beribu-ribu gambar seperti ini yang dikongsi di kira-kira 100 laman politik pro-pembangkang di Facebook.  

    

"Adakah ini sihat? Ibu bapa kita, anak-anak kita tengok benda macam ini kita boleh terima tak? Agama mana budaya mana yang  boleh terima?" katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Katanya laporan itu dibuat berikutan aduan seorang pelajar wanita berusia 22 tahun yang menerima kata-kata kesat serta ugutan rogol dan bunuh melalui laman Facebook hanya kerana beliau berlakon dalam sebuah video yang menyokong kerajaan yang disebarkan di YouTube.

    

Shean yang merupakan bekas anggota DAP dan keluar dari parti itu pada hujung 2008, berkata beliau sendiri turut menerima kata-kata kesat dan amaran, selain difitnah walaupun kini berjuang atas tiket NGO dan tidak menyertai mana-mana parti politik.

    

"Kalau mereka tak setuju dengan perbuatan atau tindakan, jangan sampai ke tahap gangsterism, cyber violence atau ke tahap yang sangat-sangat ekstrem. Ini sesuatu yang sangat tidak baik untuk pemuda-pemudi kita," katanya.

    

Ditanya mengapa beliau meninggalkan DAP, Shean berkata beliau merasakan parti itu 'terlalu palsu' dan mendakwa permainan politik mereka terlalu kotor selepas pilihan raya umum 2008.

    

"Perkara yang saya tunjukkan hari ini memang satu bukti... mereka sanggup buat apa sahaja untuk musnahkan orang yang tak nak dengar mereka, atau orang yang bersuara menentang mereka. Ini adalah budaya yang sangat tidak sihat," katanya.

    

Shean berkata beliau berharap SKMM  menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang melakukan tindakan ekstrem tersebut supaya ia menjadi pengajaran kepada pihak lain.

    

- Bernama

ADS