Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah ketepi sabitan, hukuman ADUN Lenggeng

Mahkamah Tinggi ketepi sabitan ADUN Lenggeng Mahkamah Tinggi Seremban hari ini mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM20,000 ADUN Lenggeng, Mustafa Salim bagi kesalahan menerima rasuah, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Mustafa, 53, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhi Mahkamah Sesyen terhadapnya pada 1 April 2011.

Dalam penghakimannya, Siti Mariah berkata Hakim Mahkamah Sesyen Amran Jantan terkilaf semasa menjatuhi hukuman itu ke atas Mustafa.

"Selepas meneliti keterangan semua saksi dan bukti daripada kedua-dua belah pihak, mahkamah mendapati Mahkamah Sesyen gagal menimbangkan keterangan semua saksi dan bukti yang diberikan oleh kedua-dua belah pihak.

"Daripada keterangan saksi dan tertuduh, jelas menunjukkan wang berkenaan adalah untuk tujuan kebajikan serta terdapat bukti dan dokumen yang menyokong hujah berkenaan," katanya.

ADUN BN itu didakwa menerima suapan RM2,000 daripadaM Manimaran sebagai dorongan mengeluarkan surat sokongan berkaitan projek pasir.

Mustafa didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Jahrin Maju, Taman Bunga Raya 2, Mantin, dekat Seremban pada 5 petang, 31 Ogos 2008 mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Dia dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari manakala Mustafa diwakili peguam Zamani Ibrahim dan Hisyam Teh Poh Teik.

Sementara itu, Mustafa yang ditemui di luar mahkamah selepas prosiding berkenaan enggan memberi sebarang komen kepada wartawan.

- Bernama

ADS