Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: Kit Siang bertanding di Johor tak jejas BN

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yakin Lim Kit Siang tidak akan menjejaskan sokongan pengundi Johor pada BN jika ketua parlimen DAP itu memutuskan untuk bertanding di negeri berkenaan.

Dengan sinis, Mahathir berkata orang Johor malah mengalu-alukan kedatangan Lim dan MP Ipoh Timur itu juga bebas memilih mana-mana kerusi yang ingin ditandinginya.

"Saya ingat kalau dia nak pergi ke Johor, dia dialu-alukan. Saya fikir (Umno dan BN) Johor mahu lihat beliau bertanding di sana, sebarang kerusi," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur petang ini.

Lim dijangka mengumumkan keputusannya untuk bertanding di kawasan parlimen di Johor dalam majlis sambutan ulangtahung ke-47 DAP di Skudai malam ini.

MP berkenaan pada hari Sabtu lalu berjanji bahawa beliau akan mendapatkan maklum balas daripada warga Johor, selain penyokong dan pemimpin Pakatan Rakyat, sebelum membuat keputusan itu.

Spekulasi yang timbul setakat ini menyebut bahawa Lim mungkin akan bertanding di kawasan parlimen Gelang Patah - kawasan yang diwakili MP MCA Tan Ah Eng dalam pilihan raya umum 2008.

Ia merupakan salah satu daripada beberapa kerusi parlimen di Johor dengan lebih 50 peratus pengundi Cina.

ADS