PKR harap tanding di Segamat, ganti Gelang Patah

dikemaskini PKR berharap dapat bertanding di Parlimen Segamat sebagai ganti kepada kerusi Gelang Patah yang telah diberi kepada pemimpin DAP, Lim Kit Siang.

Buat masa itu, PKR sedang berundingkan perkara itu dengan pihak PAS dan DAP, demikian menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ceramah Taman Mega Ria, di Johor Bahru malam tadi.

NONEDalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu, Parlimen Segamat ditandingi calon DAP yang hanya kalah dengan majoriti 2,991 undi kepada MIC.

Manakala kerusi parlimen Gelang Patah ditandingi calon PKR yang kalah dengan majoriti 8,851 undi kepada MCA.

Ketua pembangkang itu semalam mengumumkan Lim Kit Siang sebagai calon Pakatan Rakyat untuk kerusi Parlimen Gelang Patang dalam majlis sambutan ulangtahun ke-47 DAP.
 
Parlimen itu merupakan salah satu daripada beberapa kerusi parlimen di Johor dengan lebih 50 peratus pengundi Cina.

Sementara itu, menurut satu sumber yang rapat dengan PKR negeri, sebelum ini parti itu ada menetapkan syarat sekiranya DAP mahu bertanding di Parlimen Gelang Patah calonnya mestilah Kit Siang.

NONEBagaimanapun, sumber itu berkata, Kit Siang juga ada menawarkan dirinya untuk bertanding di Gelang Patah dan hasrat itu disampaikan kepada Anwar.

"Sebelum pengumuman (Lim Kit Siang calon Gelang Patah) itu, pada petang Datuk Seri ada berjumpa dengan semua ketua PKR dan beri penjelasan.

"Selepas penjelasan kita beri keyakinan kepada Datuk Seri untuk selesaikan masalah kerusi. Dia (Anwar) juga kata kalau Lim Kit Siang lepaskan Ipoh Timur dan sanggup datang ke Gelang Patah, (ia) masih ada elemen risiko dan ini menunjukkan keberanian Lim.

"Tetapi apa pun, sebelum itu kita ada kata, hanya Lim Kit Siang sahaja calon daripada DAP yang boleh untuk kerusi (Gelang Patah) itu. Dan kita nak Datuk Seri memberi jaminan tetapi dia (Anwar) kata, tak perlu jaminan tetapi memang persetujuan. Lim ada menawarkan diri dan minta izin Datuk Seri untuk bertanding di situ," kata sumber itu ketika dihubungi Malaysiakini.

NONESebelum ini berlaku pertikaian antara Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau dan Pengerusi PKR Johor Datuk Chua Jui Meng tentang isu agihan kerusi di negeri itu.

Parlimen Gelang Patah mempunyai lebih 100,000 pengundi, terdiri daripada kerusi DUN Nusajaya yang diwakili Abdul Aziz dan DUN Skudai yang disandang Dr Boo.

Dalam pertembungan pada 2008 itu, Pengerusi DAP Johor itu menewaskan Pengerusi Gerakan Johor, Datuk Teo Kok Chee dengan majoriti lebih 12,000 undi.

Keyakinan Pakatan Rakyat terhadap Parlimen Gelang Patah yang mempunyai 54 peratus pengundi Cina menyebabkan berlakunya pertikaian serius antara DAP dan PKR berhubung pihak yang berhak meletakkan calon bagi kerusi terbabit.

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.