PMO: Khabar angin Parlimen bubar hari ini tak benar

Pejabat Perdana Menteri hari ini menafikan bahawa perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membubarkan Parlimen hari ini.

“Khabar angin yang menyatakan Parlimen akan dibubarkan hari ini, oleh Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Razak) tidak benar sama sekali,” kenyataan pejabat berkenaan dipetik.

Kenyataan itu disiarkan di Twitter pada kira-kira jam 1 petang, selepas khabar angin berkenaan tersebar luas melalui SMS dan juga di laman sosial.

Wartawan Malaysiakini juga dihujani pertanyaan daripada pembaca yang ingin mendapat pengesahan mengenai khabar angin berhubung pembubaran parlimen itu.

Ramai pihak menjangkakan Parlimen akan dibubarkan hari ini, selepas Najib membentangkan kad laporannya berhubung Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dalam siaran langsung di kaca TV pada malam tadi.

DUN Negeri Sembilan merupakan dewan undangan pertama yang akan dibubarkan, pada 26 Mac.

Penasihat DAP Lim Kit Siang sebelum ini menjangkakan bahawa Parlimen akan dibubarkan pada 25 Mac, sehari sebelum DUN Negeri Sembilan dibubarkan.

Lim bagaimanapun berkata, Parlimen juga mungkin dibubarkan lima hari lebih awal daripada 25 Mac.

Tempoh pentadbiran kerajaan persekutuan berakhir pada 28 April dan pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan bahawa pilihan raya akan diadakan serentak untuk kerusi Parlimen dan kerusi DUN.

Kenyataan PMO hari ini turut menjadi perhatian memandangkan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi juga pernah menafikan, pada 12 Februari 2008, bahawa Parlimen akan dibubarkan pada keesokan harinya.

Abdullah secara rasminya mengumumkan parlimen dibubarkan pada tengahari, 13 Februari 2008 untuk mengadakan pilihan raya ke-12.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.