Polis: Mayat pengganas dikebumi sementara

Kesemua 28 mayat pengganas militan yang dibawa keluar dari zon merah akan dikebumikan dahulu sementara menunggu tuntutan mana-mana pihak, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

NONE"Ini bagi memastikan ancaman kesihatan tidak timbul selain kekurangan bilik mayat di Hospital Lahad Datu dan Hospital Tawau," katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat Lahad Datu hari ini.

Khalid berkata mana-mana pihak yang ingin menuntut mayat pengganas itu sama ada dari dalam atau luar negara boleh berbuat demikian dengan mengemukakan sampel DNA mereka dan sekiranya ia berpadanan mayat itu akan diserah kepada mereka.

"Bagi pemohon di luar negara, tuntutan boleh dikemuka menerusi Kementerian Luar, manakala bagi pemohon di dalam negara urusan tuntutan boleh dibuat terus kepada polis," katanya.

Beliau berkata tindakan itu diputuskan dalam mesyuarat Isnin lepas antara Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia dan Interpol.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan lokasi mayat itu dikebumikan.

Zulkifeli berkata operasi Daulat masih diteruskan dan kini di peringkat pembersihan di kawasan Tanjung Batu.

Beliau berkata pasukan keselamatan memerlukan beberapa hari lagi untuk operasi penggeledahan dan pembersihan secara menyeluruh di kawasan itu bagi memastikan keselamatan terjamin sebelum membenarkan penduduk kampung pulang ke rumah masing-masing.

"Ia mengambil masa disebabkan faktor muka bumi dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di kawasan perumahan yang menyukarkan operasi ini selain tanaman kelapa sawit, paya dan hutan bakau.

"Kami akan menggeledah semua kawasan bagi memastikan tiada musuh berselindung sebelum penduduk boleh pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Zulkifeli berkata dalam operasi penggeledahan di Tanjung Batu semalam, pasukan keselamatan menemui satu lagi mayat pengganas yang dipercayai ditembak mati pada 6 Mac.

Sejak insiden pencerobohan di Lahad Datu 12 Feb lepas, 10 anggota pasukan keselamatan terkorban, terdiri daripada lapan anggota polis dan dua tentera manakala 62 militan dari selatan Filipina ditembak mati.

Pasukan keselamatan turut menahan 265 individu kerana memasuki zon merah dan pelbagai kesalahan lain.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.