Laporan: Soi Lek letak jawatan jika Tee Keat bertanding

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek didakwa memberitahu mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu semalam bahawa beliau akan meletak jawatan jika BN mengumumkan seterunya Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai calon parlimen Pandan.

Laporan China Press yang memetik sumber hari ini menyebut, selain Ong, setiausaha agung parti itu Datuk Seri Kong Cho Ha dan naib presiden Datuk Seri Ng Yen Yen tidak tersenarai sebagai calon MCA untuk pilihan raya umum akan datang.

Bekas setiausaha agung Datuk Seri Ong Ka Chuan, juga tidak diminta untuk mempertahankan kerusi parlimen Tanjung Malim.

Akhbar berbahasa Cina itu juga mendakwa, Chua yang meletak jawatan ekoran skandal seks pada 2008, akan bertanding sekali lagi namun kerusi berkenaan masih belum didedahkan.

Ng yang juga menteri pelancongan, dilaporkan akan digantikan dengan exco Pahang Ho Khai Mun yang kini mewakili kawasan DUN Bilut.

Bendahari Datuk Tan Chai Ho, yang ditewaskan MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim di kerusi parlimen Bandar Tun Razak pada 2008 dengan majoriti 2.515 undi, diberi peluang sekali lagi untuk merampas kerusi tersebut.

MCA juga bersetuju untuk melepas dua kerusi parlimen – Wangsa Maju dan Kuantan – kepada Umno namun laporan itu tidak menyatakan sama ada ia melibatkan pertukaran kerusi.

MCA akan mengadakan satu lagi pertemuan pada hari Khamis untuk memuktamadkan senarai berkenaan, menurut laporan itu lagi.

[Baca berita penuh]

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.