MP: Global Witness cuba campur tangan dalam politik

Tindakan kumpulan aktivis antarabangsa, Global Witness cuba menyerang Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud melalui penghasilan video bertajuk 'Inside Malaysia's Shadow State' adalah tindakan tidak beretika, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.  

Beliau berkata lebih buruk, tindakan kumpulan berpangkalan di London itu dilihat satu cubaan pihak asing untuk campur tangan dalam hal politik tanah air.

"Apa yang mereka lakukan tidak sesuai, satu tipu helah, tidak gentleman, tidak beretika dan tindakan tidak bertamadun... politik sedemikian tidak sepatutnya ada di Sarawak.

"Apa yang mereka lakukan juga jelas cubaan campur tangan pihak asing, sedangkan Malaysia tidak pernah campur tangan dalam soal politik mana-mana negara," katanya kepada Bernama di Kuching hari ini.

Beliau berkata umum juga sudah mengetahui sejarah Taib dengan keluarga Norlia Abdul Rahman, bahkan kerajaan pernah menarik balik konsesi balak yang diberi kepada Norlia pada tahun 1987 atau 1988.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas video perbualan Norlia dan Fatimah Abdul Rahman, kedua-duanya anak perempuan Tun Abdul Rahman Yakub, bekas ketua menteri Sarawak yang juga bapa saudara Taib, dalam rakaman video Global Witness mengenai satu urusniaga tanah.

Video yang dirakamkan dengan kamera tersembunyi itu memaparkan seorang lelaki menyamar sebagai 'pelabur asing' yang ingin membeli tanah untuk mengusahakan ladang kelapa sawit.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.