Ahli akademik: Perang rugikan kamu sendiri, Kiram

Malaysia dan Filipina harus tegas dan meneruskan perjanjian damai dan tidak membenarkan pencerobohan di Lahad Datu, Sabah menggagalkan proses damai di selatan Filipina, kata Profesor Madya Dr Farish A. Noor dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.

"Kesan daripada apa yang berlaku ketika ini, jika proses damai gagal dan mereka kembali bertempur secara gerila di selatan Filipina, bahagian itu akan ketinggalan ketika negara lain di Asean berintegrasi, apakah itu yang anda inginkan?

"Saya fikir apa yang kedua-dua kerajaan, Malaysia dan Filipina, lakukan adalah baik, kedua-duanya harus tegas dan meneruskan perjanjian damai," katanya kepada Bernama selepas seminar bertajuk 'Sabah and Sulu: Historical Claims, Modern Borders and Non-State Actors' anjuran Institut Hal-Ehwal Antarabangsa Singapura pada Selasa.

Paling utama, beliau berkata penduduk Mindanao mahukan kedamaian itu.

"Anda tidak harus membenarkan satu aktor ini menggagalkan proses damai yang bakal memberi kesan terhadap jutaan orang pada generasi berikutnya.

Sekumpulan lelaki bersenjata yang menggelar diri sebagai pasukan keselamatan diraja Kesultanan Sulu dihantar Jamalul Kiram III, yang mengaku sebagai pewaris kesultanan itu, ke pesisir pantai Lahad Datu pada Februari lepas.

Farish berkata semua rakyat di selatan Filipina sudah cukup menderita kerana sejak 1970-an, kawasan itu menjadi zon perang.

Beliau berkata kebanyakan negara anggota Asean sudah maju dengan pembangunan infrastruktur, pendidikan dan penjagaan kesihatan untuk ratusan juta warganya.

"Namun zon selatan Filipina di Mindanao tidak mendapat faedah kerana menjadi medan perang sejak 1970-an.

"Adalah penting rakyat negara itu diberi peluang hidup dalam keadaan aman damai. Ini yang MILF (Barisan Pembebasan Islam Moro) inginkan," katanya.

Farish berkata presiden Filipina juga dilihat komited menamatkan konflik itu kerana tidak mahu rakyat negaranya terus menderita.

Jika pencerobohan Lahad Datu menggagalkan proses damai di selatan Filipina, Farish berkata ini bermakna untuk 10 atau 20 tahun akan datang, penduduknya akan kekal di kawasan zon perang manakala pada masa sama, bahagian lain di Asean terus maju.

"Pergi ke kedai atau sekolah adalah sesuatu yang mereka hanya dapat bayangkan... paling utama, tindakan Kiram merugikan bangsanya sendiri.

"Dengan melengah-lengahkan proses damai, bukan penduduk di utara Filipina yang menderita, juga bukan penduduk di negara Asean lain menderita, sebaliknya mereka yang menderita adalah orang-orang kamu sendiri," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.