PAS: Tunggu pencen untuk bantah k'jaan

PAS menyifatkan kenyataan Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman "sangat dangkal" apabila menyelar pesara yang mengkritik kerajaan sebagai tidak mengenang budi dan "melanggar tatasusila dalam perkhidmatan awam".

Dengan sinis, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan Cuepacs supaya tidak menjadi "agen parti pemerintah" kerana kebebasan memilih amalan biasa dalam negara demokrasi.

"Adalah lebih baik untuk Datuk Omar Osman mengkaji kenapa para pesara kini beralih menyokong pembangkang.

"Sebagai presiden Cuepacs, beliau harus sedar bahawa beliau bukan mewakili parti pemerintah. Beliau mewakili pelbagai kakitangan yang terdiri dari pelbagai segmen parti politik," katanya.

Omar semalam dilaporkan berkata, mengecewakan apabila mereka yang bersara dengan pangkat besar dan pencen tinggi memburukkan kerajaan dan negara selepas tamat perkhidmatan walaupun ketika berkhidmat "semua OK".

Bercakap di Kuala Terengganu, Omar mengingatkan, jangan kerana ada perkara tidak memuaskan hati menyebabkan "kita bakar kelambu yang melindungi kita daripada nyamuk".

Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim meminta Cuepacs menghormati hak 600,000 pesara yang mula menyatakan sokongan kepada pembangkang dihormati, bahkan memperjuangkan hak kakitangan awam menyokong parti pilihan mereka.

Katanya, terdapat golongan itu yang mendapat pelbagai tekanan antaranya diarah menghadiri program Umno dan menerima surat tunjuk sebab sekiranya gagal hadir proram anjuran parti pemerintah, yang tiada mengena dengan tugasan.

"Akibat tekanan melampau semasa mereka bertugas menyebabkan mereka hanya menunggu hari pencen untuk menyatakan bantahan kepada kerajaan yang memerintah," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.