Ops Daulat: Penceroboh ditembak mati, wanita ditahan

Pasukan keselamatan menembak mati seorang pengganas ketika operasi penggeledahan di Kampung Tanjung Batu pada kira-kira 1.30 tengah hari semalam, menjadikan jumlah keseluruhan yang maut 63 orang.

Seorang militan wanita berusia lewat 40-an serta tidak bersenjata turut ditahan dalam operasi itu.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kejadian itu susulan daripada pertempuran yang tercetus pada 11.30 pagi yang menyebabkan seorang anggota tentera cedera di jari kiri akibat terkena serpihan peluru.

"Susulan itu, pasukan keselamatan terus menjejaki musuh dan berlaku pertempuran di mana pasukan kita telah membunuh seorang daripada mereka serta menahan seorang wanita.

"Anggota tentera yang tercedera dibawa ke hospital berdekatan dan selepas pembedahan, keadaannya stabil," katanya pada sidang akhbar bersama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat Lahad Datu hari ini.

Berhubung kemungkinan penduduk Kampung Tanduo boleh kembali ke kediaman masing-masing, Zulkifeli berkata pasukan penilaian terdiri daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Majlis Daerah Lahad Datu dan Ibu Pejabat Polis Lahad Datu akan digerakkan ke kampung itu selewat-lewatnya esok bagi melakukan penilaian keseluruhan sebelum penduduk dibenar pulang.

Beliau berkata kelewatan membenarkan penduduk pulang ke rumah ialah bagi memastikan kawasan kampung itu yang di kelilingi paya, hutan dan semak samun, benar-benar selamat daripada ancaman selepas ia menjadi sasaran utama militan selain berlaku banyak pertempuran di situ sebelum ini.

"Dari segi kerosakan fizikal agak mudah untuk dinilai tetapi dalam aspek keselamatan kami perlu pastikan keadaan benar-benar bersih dan selamat sebelum penduduk dibenar kembali ke kediaman mereka," katanya dan memberitahu bahawa hanya terdapat 12 rumah penduduk di kampung itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifeli turut menafikan dakwaan bahawa sekumpulan lelaki dari Sabah akan dihantar ke Filipina untuk membunuh Kiram, dan berkata dakwaan itu tidak berasas dan mengarut.

Sementara itu, Khalid ketika ditanya sama ada pihak berkuasa mempunyai bukti sehingga lapan militan didakwa di mahkamah berkata: "Sudah tentu, tapi kita tidak boleh dedahkan dan jika tiada bukti bagaimana kita boleh mendakwa mereka.

Beliau berkata mana-mana pihak yang cuba mempertikai tindakan itu perlu menunggu sehingga perbicaraan dan sekiranya mempunyai sebarang persoalan ia boleh dirujuk kepada Wisma Putra.

Lapan rakyat Filipina hari ini didakwa di Mahkamah Tinggi di Tawau dan dua daripadanya bakal berdepan hukuman mati kerana dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota kumpulan pengganas.

Empat lagi didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas manakala dua yang lain didakwa cuba melindungi sekumpulan pengganas.

Kesemua mereka ialah antara 108 individu yang disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Berhubung statistik terkini pencerobohan, Khalid berkata 30 mayat militan berjaya dikeluarkan dan selesai dibedah siasat, namun sehingga kini tiada pihak tampil menuntut mayat-mayat itu.

Jumlah tangkapan di bawah SOSMA kekal 108 orang, manakala 268 individu ditahan mengikut lain-lain akta setakat ini, katanya.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.