Kes Lahad Datu bukan soal suku kaum, kata AG

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menjelaskan bahawa kes lapan rakyat Filipina yang didakwa di Mahkamah Tawau hari ini bukan persoalan kaum tetapi soal aktiviti pengganas.

Beliau berkata dalam soal undang-undang, bukan suku kaum yang dilihat, sebaliknya kesalahan individu atau kumpulan terbabit sama ada menyalahi undang-undang ataupun tidak.

"Bagi saya, ini bukanlah persoalan kaum, sebaliknya ini adalah persoalan pengganas. Jangan lupa, orang kita (Melayu) pun ada. Contohnya Yazid Sufaat yang didakwa terhadap pertuduhan menggalakkan keganasan bagi mengugut orang awam di Syria.

"Dalam undang-undang kita tidak tengok dari segi itu (suku kaum). Saya tidak terkejut jika orang lain (suku lain) pun ada masuk (kumpulan pengganas)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di Tawau hari ini apabila diajukan soalan sama ada kelapan-lapan tertuduh dalam insiden pencerobohan Sabah itu daripada kaum Suluk atau sebaliknya.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Ketua Siasatan Jenayah Sabah SAC Omar Mamah, timbalannya ACP Mohd Shariff Wahid dan Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah.

Abdul Gani berkata setiap orang mahukan keadilan dan sesiapa yang patut dihukum perlu dihukum.

Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak mahkamah kerana memahami kepentingan kes pendakwaan ke atas lapan tertuduh Filipina dengan mempercepatkan pendengaran kes.

Beliau juga memuji anggota keselamatan yang sentiasa bersedia dan prihatin dalam soal keselamatan.

"Kalau kita lihat (masa) kita nak tuduh pun begitu ramai polis berkawal. Kita juga hendak anggota polis ini menjaga keamanan. Jadi kita perlu perkara ini dipercepatkan," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.