1,000 dapat permit teksi individu

Sejumlah 1,000 permit individu akan diserah kepada pemandu teksi dalam usaha memajukan industri perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata 200 daripada permit itu akan diserah pada satu majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad ini.

"Permit berkenaan datang dengan pakej insurans komprehensif dan penyelenggaraan serta dibayar secara ansuran selama tujuh tahun dan tidak boleh ditukar milik.

"Antara syarat kelayakan untuk memiliki permit tersebut ialah mesti berumur 60 tahun ke bawah, kalau lebih daripada had itu kena ada pengesahan doktor untuk pastikan pemandu itu sihat," katanya selepas ditemuramah Radio24 di Wisma Bernama hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, terdapat lebih 80,000 permit teksi di seluruh negara dan 40 peratus daripadanya adalah permit individu.

Syed Hamid berkata pemberian permit itu juga akan membolehkan pemandu teksi individu memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.

"Kita harap dapat tukar imej teksi dengan pengendali mengunakan kereta baharu dan tidak perlu khuatir berkenaaan soal pembiayaan kerana kita sudah sedia bersama pakej pembiayaan sekali.

"Mereka juga tidak perlu fikir dan risau sama ada pinjaman bank diluluskan  atau tidak kerana kita beri semuanya (di dalam pakej tersebut)," katanya.

Sementara itu, beliau menasihati orang awam khususnya wanita untuk lebih berhati-hati dan melihat kad pemandu yang dipamer di dashboard teksi ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan berkenaan.

"Pastikan gambar pemandu teksi adalah sama dengan kad pemandu yang dipamer itu," katanya dalam satu kenyataan berikutan kes serangan, penculikan dan rompakan membabitkan penumpang wanita baru-baru ini.

Beliau berkata SPAD bercadang mewajibkan pemandu teksi meletak kad pemandu masing-masing di bahagian belakang kepala tempat pemandu dan penumpang depan.

"SPAD amat memandang serius insiden negatif yang berlaku baru-baru ini membabitkan penumpang seperti dilaporkan media.

"SPAD mengutuk tindakan pengecut ini serta akan menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang bagi memastikan ia dipatuhi dan penumpang sentiasa dilindungi," katanya.

Syed Hamid berkata SPAD kini merangka Pelan Penambahbaikan Teksi, yang bakal memperkenal teknologi terbaharu dan lebih baik bagi perkhidmatan pengangkutan itu dan ini termasuk sistem pengesanan tiket.

Program saringan pemandu dan latihan komprehensif beretika akan turut diperkenal dan pemandu teksi perlu menandatangani Perjanjian Tahap Perkhidmatan (PTP) dan latar belakang mereka diteliti sebelum dibenar memandu teksi.

"SPAD juga akan menyusun sistem pangkalan data pemandu yang menggabungkan butiran mereka bagi memudahkan proses pemantauan dan penguatkuasaan," katanya.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.