Kakitangan CIMB piket tuntut 'keadilan'

dikemaskini Ahli Kesatuan Sekerja Bank (NUBE) dan kakitangan bank CIMB Berhad hari ini mengadakan piket membantah pihak pengurusan bank itu kerana didakwa tidak menjaga kebajikan dan melanggar hak asasi pekerjanya.

NONEMereka membantah antaranya mengenai dakwaan ketidakadilan dalam penilaian prestasi bagi bayaran bonus kakitangan dan isu pemecatan kakitangan yang mempersoal penggunaan dana pekerja oleh pihak pengurusan.

Piket NUBE di CIMB di Petaling Jaya hari ini bermula kira-kira jam 12 tengahari ini selama satu jam dan disertai kira-kira 300 ahlinya termasuk kira-kira 60 kakitangan CIMB.

NUBE mempunyai kira-kira 5,000 ahli yang bekerja di rangkaian CIMB.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Penolong setiausaha NUBE, A Karuna berkata aduan berhubung perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak pengurusan bank sejak setahun yang lalu tetapi mendakwa tiada tindakan.

Karuna berkata, piket yang diadakan di hadapan CIMB di Petaling Jaya itu merupakan yang kali ke-30 sejak Disember tahun lalu

NONESejak Februari lalu, mereka mengadakan piket antaranya di Kangar, Alor Setar, Temerloh dan Pekan.

CIMB diterajui Ketua pegawai eksekutif kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak - adik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam perkembangan berkaitan, Karuna berkata pihaknya bercadang mengadakan piket besar-besaran di CIMB dan Bank Negara di Kuala Lumpur pada 6 April depan, supaya tuntutan mereka didengari.

Beliau mensasarkan 20,000 ahli NUBE termasuk kakitangan CIMB hadir dalam piket tersebut.

Malaysiakini telah menghantar emel kepada pengurusan CIMB untuk meminta penjelasan berhubung isu tersebut dan dimaklumkan melalui emel bahawa eksekutif berkenaan akan memberi respons dalam masa dua hari bekerja.

 

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.