Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ahli Umno dan penyokong Barisan Nasional (BN) di Kedah diminta tidak terlalu memikirkan siapa yang akan menjadi menteri besar jika BN berjaya menawan kembali negeri itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

    

Sebaliknya kata Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, yang penting sekarang adalah untuk memastikan BN menang pada PRU itu.

    

NONE "Letakkan dacing dulu. Bila perdana menteri umum bubar Dewan Rakyat dan negeri-negeri bubar DUN (Dewan Undangan Negeri), kemudian umum calon, jangan fikir itu semua (siapa jadi menteri besar).

    

"Fikir menangkan calon. Ini adalah masa untuk kukuhkan dan beri kekuatan kepada BN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mini Ekspo Mini Mara dan Kampungku Mahir peringkat Kedah, di Jerlun hari ini.

    

Katanya perkara seperti pemilihan menteri besar hanya berlaku selepas pilihan raya selesai.

    

Beliau berkata PRU13 juga merupakan ujian kesetiaan dan ketaatan ahli Umno serta penyokong BN kepada parti.    

    

Mukhriz yang juga ahli Parlimen Jerlun mengulas spekulasi terutama menerusi media sosial bahawa beliau akan bertanding di kerusi DUN dalam PRU13 dan dilantik sebagai menteri besar jika BN kembali menguasai Kedah.

    

"Belum tentu lagi di mana saya bertanding. Pengerusi BN yang tentukan. Letaklah saya di mana saja. Saya sebagai jentera parti akan melakukan yang terbaik untuk pastikan BN menang. Saya fikir khabar angin itu satu spekulasi yang tidak kena pada masanya.

    

"Selain itu, banyak lagi proses. Kalau bertanding (DUN) nak kena menang dulu. Lepas tu kena tawan semula Kedah... mesti dapat 19 kerusi (daripada 36 kerusi DUN) atau lebih.

    

"Saya tak minat jadi ketua pembangkang... tak ada yang berebut jawatan itu. Kemudian banyak lagi proses," kata Mukhriz yang juga timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

- Bernama

ADS