Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPR dakwa ada 'ajaran sesat' mahu buat kecoh
Diterbitkan:  Mar 24, 2013 12:51 PM
Dikemaskini: 4:55 AM

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mendakwa suruhanjaya itu mengesan usaha yang dirancang pihak tertentu untuk menimbulkan kekecohan di tempat mengundi dalam pilihan raya umum ke-13.

Abdul Aziz mendakwa demikian berdasarkan satu nota, yang didakwa diterimanya, berhubung panduan untuk menimbulkan protes berhubung kesahihan kertas undi.

"Berdasarkan maklumat nota ini, pengundi diminta persoalkan (status) kertas undi dan mendesak diberi kertas undi lain dan jika tidak dilayan, akan menjerit di tempat mengundi untuk tarik perhatian ramai dan media," katanya seperti dipetik dalam laporan Sinar Harian hari ini.

Abdul Aziz mendakwa perkara itu terkandung dalam satu nota yang digunakan pihak berkenaan, yang tidak dinamakannya, bagi tujuan latihan.

Beliau juga mendakwa kumpulan itu turut menghasut pengundi dengan mendakwa dakwat kekal yang bakal digunakan tidak halal.

Aziz bagaimanapun berkata beliau tidak membuat laporan polis tentang perkara itu dan hanya mengingatkan pegawainya agar berhati-hati.

"Pegawai pengurus perlu berhati-hati dengan kumpulan yang menyebarkan ajaran sesat ini, yang meminta pengundi cetus kekecohan pada hari pengundian," katanya.

ADS