Kehadiran Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow dalam perhimpunan yang turut melibatkan PERKASA menyebabkan beliau menjadi sasaran pelbagai pihak, termasuk dari kumpulan pendesak hak Melayu itu sendiri.
"U think Gerakan candidate can win without Malay Perkasa voters?
Perkasa members can stay at home where Gerakan contest. No problem. Tq. Sec Gen Perkasa," demikian bunyi mesej yang dihantar kepada Teng pagi ini.
"Saya tidak membalas mesej itu," katanya, sambil mengulangi bahawa beliau tidak akan menghadiri program yang dihadiri kira-kira 5,000 orang di Speaker Square itu semalam jika beliau tahu mengenai penglibatan PERKASA.
Menurut Teng lagi, beliau sepatutnya telah beredar dari situ sekiranya bukan kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop datang bercakap dengannya.
"Tetapi tuduhan itu tidak benar. Kemudiannya Timbalan Pengerusi Umno negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata perhimpunan itu dianjurkan oleh badan-badan bukan kerajaan, bukan PERKASA sebelum menjemput saya untuk berucap di perhimpunan itu," kata Teng sambil menegaskan bahawa sebahagian besar hadirin memakai baju-T BN warna biru.
Pagi ini, Ketua Menteri Lim Guan Eng mengecam Teng, dengan berkata bahawa akhirnya Teng telah memperlihatkan "warna sebenarnya" dengan mengambil bahagian dalam acara yang sama dengan kumpulan pro-Melayu itu.
Lim mendakwa Teng tiada bezanya dengan pemimpin Gerakan yang lalu yang didakwa takut kepada Umno.
"PERKASA memainkan peranan penting dalam acara itu, dan Teng dilihat bersalaman dengan mereka," kata Lim dalam satu sidang akhbar di Komtar.
[Baca berita penuh]