Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Perbezaan dalam PAS Kedah bagi perbaiki pentadbiran'

Kewujudan kem berbeza dalam PAS Kedah tidak menjejaskan persediaan Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya umum, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata, perbezaan tersebut berlaku kerana kedua-dua kem mahu kerajaan negeri memperbaiki perkhidmatan mereka kepada rakyat.

NONE "Semua perbezaan yang berlaku dalam parti itu lebih kepada untuk berlumba-lumba bagi memastikan pentadbiran yang lebih baik.

"Mereka yang terlibat dalam perbezaan itu semuanya bersih daripada amalan rasuah," katanya kepada Malaysiakini petang tadi.

Dakwaan pergeseran antara Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak dan Timbalan Pesuruhjaya PAS 1 Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi kini dianggap 'rahsia umum'.

Tahun lalu, pentadbiran negeri Kedah dilanda kemelut apabila Phahrolrazi dan pesuruhjaya PAS III Kedah, Dr Ismail Salleh enggan dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri.

Kedua-dua pemimpin PAS itu bertindak demikian dipercayai kerana tidak berpuas hati dan kecewa dengan kepimpinan Azizan berhubung pelbagai isu yang melanda pentadbirannya.

PAS Pusat dan negeri akhirnya mengadakan pertemuan khas - yang berlarutan sehingga jam 3 pagi - bagi menyelesaikan masalah itu sebelum mengarahkan kedua-duanya menerima semula jawatan tersebut.

Sementara itu, Mahfuz juga percaya kontroversi pembalakan di Tasik Pedu tidak akan menjejaskan usaha PAS Kedah untuk mengekalkan pentadbiran mereka di Kedah.

"Cuma sekarang ini kita fikir macam mana kita mahu terangkan kepada rakyat," katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini mempertahankan kelulusan aktiviti pembalakan di situ dan menegaskan ia bertujuan untuk projek ladang buah-buahan bagi meningkatkan pendapatan negeri.

ADS