Pemimpin Umno kata PKR muat gambarnya di poster ceramah

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menuntut pemimpin PKR Pahang memohon maaf kerana menggunakan nama dan wajah beliau dalam satu poster ceramah .

Menurutnya, beliau menyedari perkara itu setelah menerima kiriman SMS dan MMS dari rakan-rakannya yang melihat poster berkenaan di sekitar Kuantan.

Katanya, rakan-rakannya bertanya jika beliau kini menyertai Pakatan Rakyat memandangkan nama dan wajah beliau disenaraikan sebagai seorang 'penganalisis politik' yang akan berucap dalam ceramah berhubung kejadian pencerobohan di Lahad Datu itu.

"Saya menyifatkan perbuatan penganjur, yakni PKR memuatkan gambar saya sebagai satu perbuatan khianat, sabotaj dan berniat jahat bertujuan untuk mencemarkan reputasi dan kredibiliti saya selaku Ketua Umno Bahagian Cheras serta Setiausaha Perhubungan Umno dan BN Wilayah Persekutuan.

"Saya tak pernah dan tak akan menyertai Pakatan kerana saya ini darah daging BN," kata Syed Ali yang kelihatan serius pada sidang media di Kuala lumpur petang tadi.

Menurutnya, poster berkenaan mempromosi satu ceramah pada malam esok di markas PKR ranting Indera Mahkota 2.

Syed Ali juga mendakwa, beliau dimaklumkan bahawa poster itu pada awalnya turut dimuatkan dalam blog PahangDaily namun, ia kini telah diturunkan.

Tambahnya lagi, beliau ada mendengar ura-ura bahawa pemimpin PKR Pahang mengeluarkan kenyataan berhubung kesilapan memuatkan gambarnya.

Namun, Syed Ali menegaskan beliau mahu pihak yang bertanggung jawab menulis surat memohon maaf kepada beliau secara peribadi dan ia juga perlu dibuat melalui media cetak dan elektronik dalam masa tujuh hari.

"Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur khususnya PKR Pahang jika mereka tidak memohon maaf secara terbuka kepada saya," katanya.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.