Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir: Ada sebab PM tak bubar Parlimen
Diterbitkan:  Mar 28, 2013 6:13 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yakin pembubaran automatik Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan tengah malam tadi tidak akan memberi kesan kepada prestasi BN pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

NONE "Banyak benda kalau tak pernah mesti ada 'pertama kali', kita tengoklah macam mana," katanya kepada media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara PWN Excellence Sdn Bhd dan Weststar Aviation Service Sdn Bhd, di Langkawi hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas mengenai pembubaran DUN Negeri Sembilan secara automatik yang merupakan pertama kali dalam sejarah politik negara dan sama ada ia baik atau tidak untuk BN.

"Pagi ini saya baca suratkhabar...ada sebab-sebabnya kenapa Datuk (Seri) Najib (Razak) tak bubar parlimen, ada beberapa perkara yang nak diselesaikan," katanya.

Beliau juga yakin pilihan raya umum dapat diadakan serentak bagi negeri-negeri dan persekutuan.

Diminta mengulas jumlah peruntukan pertahanan yang sedikit dalam belanjawan berbanding dengan negara-negara Asean lain, beliau berkata prioriti kerajaan ialah untuk pendidikan.

"Kita biasa belanja hingga 25 peratus (daripada belanjawan tahunan) untuk tujuan itu. Pertahanan, kita tidak anggap sebagai yang diutamakan, memandangkan kita tidak mempunyai musuh di sekeliling kita. Tapi kita biasa dengan perang gerila," jelasnya.

Dr Mahathir berkata apa yang diperlukan oleh sektor pertahanan negara sekarang ialah bekalan dan peralatan untuk 'perang gerila' dan sempadan laut.

lahad datu 050313 soldiers on truck Beliau juga yakin kerajaan akan menambah kemampuan pertahanan terutama untuk maritim, sebagai contoh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang baru ditubuhkan sekarang memiliki lebih 200 bot, termasuk yang berkelajuan sehingga 60 batu sejam.

"Setakat ini kita mampu pertahan negara dengan kelengkapan yang ada tapi kita harus buat persediaan mungkin akan ada tindakan yang lebih besar dari sekarang.

"Dalam pertahanan, kita mesti mempunyai kemampuan pertahanan melebihi kemungkinan serangan dari pihak lain," kata Dr Mahathir.

Sementara itu, beliau berkata penjualan senjata kecil dan ringan perlu dikawal kerana ia didapati banyak dijual kepada pihak tertentu.

Perkara ini sedang dibincangkan di mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkenaan kawalan pengeluaran dan penjualan senjata jenis itu, katanya.

"Sementara senjata yang besar tidak begitu laris dan tidak digunakan oleh gerila, yang digunakan oleh mereka dan pasukan yang tidak bertanggungjawab ialah senjata ringan," katanya.

Ketika ditanya bilakah masa yang sesuai untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dalang di sebalik pencerobohan di Sabah, beliau berkata:

"Saya berpendapat bahawa orang ini akan teruskan serangan. Jadi kita tak perlu tunggu, ada masa yang sesuai kita buatlah."

- Bernama

ADS