MP BN pelawa Kit Siang bertanding di Johor Jaya

BN Pasir Gudang tidak gentar jika veteran DAP Lim Kit Siang mahu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Malah kata pengerusinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mereka mengalu-alukan Lim bertanding di situ jika penasihat DAP itu sanggup menerima malu ditolak pengundi kawasan Parlimen Pasir Gudang.

"BN Pasir Gudang akan jadikan keputusan Lim (bertanding di DUN Johor Jaya) sebagai pecaturan paling tidak tepat yang pernah dibuatnya," katanya kepada pemberita di Pasir Gudang hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai desas-desus Lim sedang 'mengintai' kerusi DUN Johor Jaya yang terletak dalam kawasan Parlimen Pasir Gudang, selain bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah.

Kerusi DUN Johor Jaya disandang Tan Cher Puk daripada MCA yang mengatasi Md Nasir Ab Wahab (Parti Rakyat Malaysia) dengan majoriti 10,488 undi pada pilihan raya umum 2008.

Mengenai kenyataan Anggota Parlimen Ipoh Timur itu bahawa pakatan pembangkang yakin akan merampas kerusi Parlimen Gelang Patah, Johor Baharu dan Pasir Gudang, Mohamed Khaled berkata itu hanya 'cakap-cakap' bagi melemahkan semangat BN.

"Rakyat pun tahu siapa sebenarnya juara mereka dan kita mempunyai hubungan yang rapat dengan masyarakat berbanding pembangkang yang hanya pandai mengambil kesempatan," katanya.

Lim dalam ceramahnya di Taman Desa Harmoni di sini malam semalam, berkata pakatan pembangkang mampu menawan semua kerusi termasuk kerusi DUN di bawah ketiga-tiga kawasan parlimen itu.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.