Wanita Umno tubuh pasukan anti 'huru-hara' Pakatan

Wanita Umno akan menubuhkan satu pasukan gerakan bagi menghadapi huru-hara yang didakwa akan dicetuskan oleh pihak pembangkang.

Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil mendakwa, berdasarkan maklumat yang diperoleh, huru-hara itu dilakukan bertujuan untuk menakutkan orang ramai agar tidak keluar mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

"Oleh kerana pembangkang takut dengan BN, maka mereka telah buat perancangan tetapi sudah dibongkar oleh media.

"Pada hari nak mengundi nanti, mereka (pembangkang) akan wujudkan keadaan huru-hara supaya penyokong BN takut untuk keluar mengundi.

"Jadi Wanita menubuhkan task force bagi memberitahu pengundi supaya keluar secara aman pada hari mengundi. Dan (pasukan) ini akan ada di semua peti undi," dakwanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian semasa merasmikan Majlis Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bersama warga perumahan PDRM Desa Tasik sempena Hari Polis ke-206 hari ini di ibu negara.

Pada 13 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa bahawa daripada maklumat beberapa dokumen yang boleh dipercayai, pembangkang dipercayai merancang untuk menggagalkan PRU 13 dengan mewujudkan keadaan porak peranda kerana gementar dengan sokongan rakyat kepada BN yang sudah mula meningkat.

Muhyiddin bagaimanapun masih enggan mendedahkan maklumat dokumen yang didakwanya itu.

Sehubungan itu, ketika ditanya adakah huru-hara yang dimaksudkannya adalah perkara sama yang disebut Muhyiddin, Shahrizat berkata, beliau hanya mengetahui tentang perkara itu daripada media dan "cakap-cakap ahli pembangkang".

"Media dan kita (Wanita Umno) adalah mata dan telinga rakyat di peringkat akar umbi. Oleh kerana rakyat sokong Datuk Seri Najib (Razak) dan BN maka pembangkang takut. Kita dapat tahu ini pun dari cakap-cakap ahli mereka juga. Dan bila media lapor, jadi kita tau ini akan berlaku.

"Kita Wanita tidak gentar. Kita akan jadi benteng. Dan pengundi mesti tahu bahawa ini kerja pembangkang yang nak bawa unsur-unsur ganas dan reformasi semasa hari membuang undi dan mereka akan mula dari awal," katanya lagi.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.