Ali Rustam: Anwar sangat beza dengan Najib

Rakyat perlu bijak menilai kredibiliti Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah ditolak rakan dalam pakatan pembangkang dan pemimpin kanan PKR yang bertindak keluar parti, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau mendakwa ramai pemimpin kanan parti pembangkang itu bertindak keluar parti setelah menyedari sesuatu yang tidak betul dengan diri ketua pembangkang itu.

NONE"Parti pembangkang kini kelam kabut, dulu sepakat lantik Anwar tetapi beliau kini ditolak kerana masalah moral sedangkan untuk menjadi Perdana Menteri kena ada integriti dan mempunyai visi.

"Personaliti Anwar sangat berbeza dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang ternyata terbukti kewibawaan beliau walaupun baru empat tahun menjadi perdana menteri," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Himpunan Gelombang Biru dan Pelancaran Sukarelawan BN Temerloh di Temerloh hari ini.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Temerloh Datuk Mohd Sharkar Shamsudin, timbalannya Datuk Saifuddin Abdullah yang merupakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Ketua MCA Temerloh Datuk Chuah Boon Siong, Pengerusi MIC Temerloh A.Sivalingam, Pengerusi Gerakan Temerloh Ong Boon Hong dan Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Temerloh N. Nagarajan.

Antara pemimpin PKR yang keluar parti ialah bekas Timbalan Presiden Dr Chandra Muzaffar, bekas Ketua Penerangan Ruslan Kassim, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Mohamad Ezam Mohd Noor dan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Datuk S. Nallakaruppan.

Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata pembangkang juga tidak mempunyai keupayaan untuk memerintah negara ini kerana mereka tidak mempunyai kesepakatan dan sikap toleransi seperti parti komponen dalam BN.

"Setiap pemimpin parti pembangkang berjuang untuk kepentingan parti masing-masing untuk berkuasa dan mereka sentiasa mencurigai antara satu sama lain.

"Sebab itu mereka sehingga hari ini tidak mempunyai ketetapan untuk memilih bakal perdana menteri jika mereka memenangi pilihan raya umum ke-13," katanya.

Katanya, rakyat perlu bijak dan tidak tersalah mengundi pada pilihan raya umum nanti.

"Setakat ini hanya BN yang mampu membawa pembangunan dan kemajuan demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.