Nor Mohamed kata sepanduk tak jadi isu padanya

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yakin Barisan Nasional (BN) mampu menguasai semula beberapa negeri termasuk Pulau Pinang yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan tindak balas positif rakyat terhadap kesemua program transformasi negara selain mereka mula menyedari kesungguhan kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat.     

"Kita harap pengundi di Pulau Pinang sudah tahu tentang keikhlasan kerajaan pusat. Kita masih meneruskan pelbagai projek pembangunan di negeri ini sungguhpun diperintah pembangkang.

"Kita tidak anaktirikan negeri ini. Kita yakin sebahagian dari penduduk Pulau Pinang mula sedar tentang kelebihan kita mempunyai kerajaan yang sama di peringkat pusat dan negeri...sebab penyelarasan semakin berkesan, lebih mudah melaksanakan dasar-dasar yang baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jom Karnival Belia 2013 di Georgetown hari ini.

Beliau mengulas kenyataan pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh yang mengulangi keyakinannya bahawa pembangkang dapat menawan antara tujuh dan lapan negeri termasuk Negeri Sembilan, Perlis dan Johor pada pilihan raya umum kali ini.

Mengulas kenyataan itu, Nor Mohamed berkata: "Kita tak boleh halang orang yang ada cita-cita. Tapi dari segi politik yang realistik saya yakin kita (BN) dapat menang, bukan saja Putrajaya malah dapat balik negeri-negeri yang kita kalah pada 2008."

Sementara itu, mengulas mengenai sepanduk yang tidak mahu beliau bertanding di Parlimen Tasek Gelugor, Nor Mohamed yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor berkata perkara itu tidak memberi kesan kepadanya dan ia tidak seharusnya menjadi isu.    

"Mereka ni nak keluarkan sepanduk tak apa la. Kita tak rasa apa-apa. Kita pun tahu mereka dan mereka juga tahu yang kita tahu. Tak jadi isu langsung, pihak yang buat tu pun tak ada pengaruh...(perkara itu) cuma 'mosquito bite' (seperti gigitan nyamuk) saja la," katanya.

Beliau berkata tindakan itu jelas menunjukkan satu amalan yang tidak sihat dan ia juga menggambarkan sikap tidak hormat kepada Perdana Menteri.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding di Parlimen Tasek Gelugor, Nor Mohamed berkata: "Bagi saya siapa yang akan bertanding itu akan ditetapkan oleh perdana menteri. Mungkin bukan saya, mungkin orang lain. Saya terima keputusan perdana menteri dan jika beliau pilih siapa pun saya akan sokong 100 peratus."

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.