Muhyiddin jangka p'raya dalam beberapa minggu

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau berpendapat bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan menunggu sehingga parlimen dibubarkan secara automatik untuk mengadakan pilihan raya.

"Saya tidak fikir begitu, pilihan raya akan diadakan dalam tempoh beberapa minggu bulan April ini," kata Muhyiddin ketika berucap dalam satu perhimpunan Barisan 1Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam ucapannya petang ini, Muhyiddin turut membidas Pakatan Rakyat yang menjalankan kempen agar rakyat menolak Umno kerana terlalu lama berkuasa.

Menurutnya, Umno sebagai sebuah kerajaan yang lama mentadbir negara mempunyai kelebihan kerana lebih memahami kehendak rakyat.

"Kerajaan ini makin tua makin bertenaga tuan-tuan, lagi tua lagi ada stail, betul tak tuan-tuan?" kata Muhyiddin kepada kira-kira 3,000 hadirin di majlis tersebut.

Pilihan raya ke-12 diadakan pada tanggal 3 Mac 2008 dan parlimen pula mula bersidang pada 28 April tahun yang sama.

Oleh yang demikian, parlimen hanya akan terbubar secara automatik pada 28 April depan.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya menjelaskan bahawa Parlimen akan terbubar secara automatik pada 29 April tahun ini kerana 28 April jatuh pada hari Ahad.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.