Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy telah mengakhiri mogok lapar di sebuah kuil di Rawang hari ini selepas tidak sedarkan diri selepas tiga minggu tidak memakan makanan pejal.

Menurut Penyelaras Hindraf, W Sambulingam, Waythamoorthy pengsan sekitar jam 4 petang hari ini ketika hendak ke bilik air.

Sambulingam berkata, pengerusi pergerakan itu telah dimasukkan ke Damai Service Hospital di Jalan Ipoh untuk pemerhatian.

"Beliau di bawah pemerhatian kerana paras gula sangat rendah dan tekanan darah yang sangat tinggi," katanya.

Pada pukul 9 malam, penasihat Hindraf, N Ganesan memberitahu Malaysiakini bahawa Waythamoorthy telah menamatkan mogok lapar.

Hari ini adalah hari ke-22 Waythamoorthy mengadakan mogok lapar dalam usaha mendapatkan sokongan terhadap pelan tindakan Hindraf membasmi kemiskinan India.

Semalam, pemimpin Hindraf menyatakan kebimbangan mereka mengenai kesihatan Waythamoorthy kerana beliau masih berkeras untuk meneruskan mogok lapar.

[Baca berita penuh]