dikemaskini Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mengerahkan kira-kira 20 ribu ahlinya untuk turun berpiket di Kuala Lumpur pada 6 April ini.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata 'Piket Daulat' itu akan diadakan berhampiran bangunan Maybank dan CIMB di Jalan Tun Perak sebagai tanda solidariti di kalangan pekerja bank dalam "menentang dakwaan eksploitasi dan penganiayaan oleh bank".

Solomon mendakwa bank-bank menggunakan kekuatan kewangan mereka untuk meggadaikan kebajikan pekerja dan pelanggan bank.

"Ia dilakukan atas nama produktiviti dan kecekapan. Bagaimanapun, mangsanya adalah pekerja dan pelanggan yang menyumbang secara aktif kepada pertumbuhan dan kejayaan institusi ini sebagai perniagaan yang menguntungkan," kata Solomon dalam kenyataannya.

Menurut Solomon, piket yang dijangka berlangsung dari jam 2 hingga 4.30 petang itu dinamakan 'Piket Daulat 6413' bagi memperingati pertemuan mereka dengan perdana menteri pada 6 April tahun lepas.

Tambahnya, pada tahun lalu mereka mengemukakan tiga tuntutan kepada Datuk Seri Najib Razak tetapi kali ini mereka akan menarik perhatian orang ramai terhadap sepuluh tuntutan mereka.

Mereka antara lainnya menggesa tiga bank iaitu Maybak, CIMB dan Bank Muamalat menghentikan yuran perkhidmatan yang tinggi, menghentikan eksploitasi wanita dan wanita mengandung, dan menggesa bank-bank ini mempromosikan pendapatan yang saksama.

"Ahli-ahli kami bersedia untuk bertindak dan kami berhasrat membuat seruan ini dalam satu suara sewaktu Piket Daulat 6413.
"Kami mahu semua bank bersetuju bekerja dengan NUBE ke arah dialog yang positif yang akan membugarkan perkongsian sihat antara pengurusan dan pekerja," katanya.