Sebanyak kira-kira 150 tanda tangan berjaya dikumpulkan pada program kutipan tanda tangan rakyat Malaysia menolak Umno dan BN di hadapan pusat membeli-belah Sogo di ibu negara hari ini

Program anjuran kumpulan yang menggelarkan diri mereka Gelombang Anak Muda Tolak Umno/BN (TOLAK) itu bermula jam 1 petang dan dihadiri kira-kira 30 orang aktivis.

NONEProgram yang berakhir jam 2.25 petang itu berlangsung secara aman sambil diperhatikan oleh beberapa orang anggota polis yang bertugas di kawasan itu.

Orang ramai yang lalu-lalang di hadapan pusat membeli-belah Sogo juga turut berhenti dan membaca kain rentang yang mempamerkan tujuh tuntutan TOLAK selain menurunkan tanda tangan.

Mereka turut membawa sepanduk bertulis "Tolak Umno/BN".

Menurut Pengerusi TOLAK, Mohd Azan Safar, program yang dianjurkan itu bertujuan bagi mengutip tanda tangan sebagai tanda simbolik dan protes terhadap BN.

Beliau yang berpuas hati dengan kutipan tanda tangan itu berkata, NGO anak muda itu akan turut mengadakan siri jelajah pada minggu ini ke seluruh negara bagi mengutip tanda tangan.

Mohd Azan juga mensasarkan jumlah kutipan tanda tangan di atas kain yang akan diperolehi hasil daripada siri jelajah itu ialah sepanjang satu kilometer.

NONE"Kita ingin mengutip tanda tangan seluruh rakyat Malaysia yang sudah muak dengan pemerintahan sekarang.

"Seiring dengan pembubaran Parlimen hari ini, kita Gelombang Anak Muda akan menolak dan bersiap sedia membawa Malaysia dan memastikan Umno dan BN tidak diberi mandat pada pilihan raya akan datang.

"Hujung minggu ini kita akan mengadakan jelajah. Misi kita jelas iaitu akan kutip tanda tangan daripada kain rentang ini sehingga satu kilometer yang mana akan dipenuhi dengan tanda tangan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan di hadapan orang ramai di hadapan pusat membeli-belah Sogo sebelum tanda tangan dikutip.