Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menasihatkan ahli politik dan para penyokong mereka agar mematuhi undang-undang sewaktu kempen pilihan raya umum ke-13 bagi memastikan keselamatan dan keamanan dapat dikekalkan

"Saya menyeru semua pihak yang terlibat dalam kempen pilihan raya nanti supaya mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan juga undang-undang lain yang berkaitan," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman petang ini.

Beliau dipercayai membuat saranan berkenaan bagi mengulas kejadian keganasan yang dilaporkan sering berlaku di kawasan ceramah, khususnya di lokasi yang ditumpu pemimpin Pakatan Rakyat.

Terbaru melibatkan insiden keganasan dalam satu ceramah di Melaka pada awal bulan lalu yang turut menyebabkan dua orang anggota polis cedera akibar dilonta dengan objek keras.

Ismail yang membacakan satu kenyataan berkata, polis kini bersedia dengan kekuatan kira-kira 100,000 orang untuk bertugas sewaktu pilihan raya berlangsung.

"Semua kekuatan yang ada akan diguna pakai untuk menjamin keselamatan negara kita dan tentunya untuk menentukan pilihan raya ini berjalan licin," katanya.

Beliau juga memperingatkan bahawa keamanan dan keselamatan negara boleh dikekalkan selagi semua lapisan masyarakat boleh mematuhi undang-undang negara.

"Kerjasama semua pihak sama ada individu atau kumpulan terutamanya ahli-ahli politik dan penyokong untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam sangat penting ke arah kita mengekalkan keharmonian negara,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian hari ini susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Parlimen dibubarkan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13.