Anwar sahkan Wan Azizah tidak bertanding

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 sebagai respon kepada dakwaan nepotisme dalam PKR.

"Azizah mampu untuk memimpin parti semasa saya berada di dalam penjara. Beliau mengetuai parti tetapi memutuskan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya," katanya ketika temubual secara langsung dengan Al-Jazeera petang semalam, seperti lapor Harakahdaily.

Jawapan Anwar itu sekaligus menepis desas-desus bahawa isterinya turut dicalonkan dalam pilihan raya umum kali ini. Wan Azizah dikatakan akan bertanding salah satu DUN di Selangor.

Ura-ura itu disambut baik oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang dilapor berkata Wan Azizah layak menjadi MB Selangor selepas ini.

Bagaimanapun, ia dilihat negatif oleh beberapa pihak kerana Anwar dan anaknya Nurul Izzah Anwar sudah cukup untuk bertanding.

Anwar pula dilaporkan akan bertanding di Perak kali ini bagi melebarkan jangkauan pengaruhnya selepas bertapak di Permatang Pauh sejak 1982.

Sehingga kini Anwar masih belum tentukan kerusi manakah beliau akan bertanding.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.