Najib: BN umum calon lebih awal dari biasa

Calon BN bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan diumumkan lebih awal daripada biasa bagi memberi tempoh kepada bakal calon untuk membuat persiapan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata BN kini menunggu pengumuman tarikh hari penamaan calon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memutuskan bila nama calon akan diumumkan.

"Kita menunggu hari penamaan calon untuk memberitahu bila nama-nama calon kita akan diumumkan. Kita akan umumkan lebih awal daripada biasa untuk memberi tempoh kepada bakal-bakal calon membuat segala persiapan termasuk pengenalan diri dan sebagainya," katanya.

Najib berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno dan Dewan Tertinggi BN di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata pengumuman calon yang dibuat lebih awal memberikan lebih masa untuk calon memperkenalkan diri.

"Di samping itu ada masa untuk BN perhatikan reaksi kepada calon-calon kita seperti apa perkara yang harus dilakukan sekiranya timbul sebarang masalah dan sebagainya," jelas Najib.

Ditanya mengenai peratus muka baharu dalam senarai calon PRU-13 kali ini, Perdana Menteri hanya menjawab: "Tunggu pengumuman nanti."

"Saya tidak mahu menggambarkan tapi perubahan tetap akan berlaku. Kalau saya cerita semua tidak adalah surprise (kejutan) nanti. It is important to have element of surprise. (Penting untuk mempunyai elemen kejutan)," kata beliau.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.