Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Datuk Seri Najib Razak akan diasak pemimpin muda Pakatan Rakyat dan calon mahasiswa dalam pertembungan tiga penjuru di Parlimen Pekan dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengumuman calon kumpulan mahasiwa Mohamed Bukhairy Mohamed Sufian di Kuala Lumpur hari ini mengesahkan ura-ura persaingan seumpamanya yang kali pertama berlaku di kubu kuat BN itu.

NONE PKR masih belum menamakan calonnya, bagaimanapun Malaysiakini difahamkan anggota majlis pimpinan pusat (MPP) Fariz Musa hampir sah dipilih bertanding di situ.

Mohamed Bukhairy, pelajar tahun akhir jurusan Sains Politik Islam di Universiti Malaya (UM), diumumkan sebagai calon mahasiswa oleh pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang.

Difahamkan, langkah drastik kumpulan antikemapanan itu diambil ekoran kegagalan mereka melobi Pakatan supaya memberi laluan bagi membolehkan berlakunya pertembungan dua penjuru.

"Sekiranya Pakatan Rakyat umum calon, itu (hak) ruang demokratik (mereka). Yang penting kami bukan pengacau.

"Kami ada isu yang kami bawa, yang sehingga kini belum disambut mana-mana parti," kata Safwan.

Pada pilihan raya umum 2008, parlimen Pekan menyaksikan Najib mengalahkan calon PKR Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dengan majoriti 26,464 undi.

Fariz tiada masalah, kongsi misi jatuhkan BN

Pertembungan bersejarah itu, walaupun menarik perhatian pemerhati, mengundang kebimbangan penyokong Pakatan terhadap kemungkinan berlakunya pecah undi antara kumpulan anti-BN.

Sementara itu, Bukhairy yang juga pengerusi Majlis Pimpinan Mahasiswa (MPP) nasional berkata, beliau menawarkan "polisi baharu pengajian tinggi negara" untuk penduduk Pekan.

"Isu ini adalah isu yag sentiasa malar segar. Setakat ini kita bawa polisi ini, Alhamdulillah ada (penduduk Pekan) yang terima.

"Untuk masalah setempat (penduduk Pekan pula) kita masih mengkaji perkara itu," katanya.

NONE Sementara itu, Fariz sewaktu dihubungi Malaysiakini mengalu-alukan hasrat kumpulan mahasiswa itu meletakkan calon mereka di Pekan atas prinsip berkongsi "misi yang sama" bagi menjatuhkan BN.

"Saya tiada masalah kerana itu hak mereka untuk bertanding," kata Fariz yang tidak melihat situasi itu bakal memecahkan undi PKR atas "kematangan pengundi".

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan dipilih menjadi calon parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dan menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan PKR.

Khabar angin pemilihan Fariz - bekas timbalan ketua Pemuda PKR dan kini memimpin NGO Jingga 13 - bertambah kencang selepas beliau dilantik sebagai penyelaras PKR bagi Parlimen Pekan bermula 19 Mac lalu.

ADS