Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas dakyah pembangkang yang menuduh BN "sudah tua" dan "harus ditukar" memandangkan parti itu telah menerajui kepimpinan negara sejak lebih lima dekad lalu.

Sebaliknya, Muhyiddn yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Wilayah persekutuan menegaskan BN - dahulunya perikatan - yang mengetuai kerajaan berkeupayaan memenuhi cita-cita dan kehendak rakyat.

"Janganlah mereka (rakyat) terpengaruh dakyah pembangkang yang menyatakan kononnya kerajaan BN sudah tua. Kalau dah tua, harus ditukar. Jadi, dia guna pelbagai slogan, dia sebut ubah, tukar dan sebagainya.

"Tapi rakyat lebih tahu daripada parti pembangkang. Rakyat tahu walaupun sudah lama mentadbir negara, 55 tahun lamanya, parti ini tidak tua, pemimpin bersilih ganti, lebih bertenaga daripada dahulu, berkeupayaan, berkemampuan, ada wawasan dan cita-cita dan memahami kehendak rakyat jelata," katanya.

Sehubungan itu, beliau yang menteri pelajaran mengajak rakyat untuk memberi mandat baru dan pertama kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengambil alih pentadbiran daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi empat tahun lalu.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan ringkas selepas menunai solat Jumaat dan jamuan bersama rakyat di Madrasah Al-Islahiyah Al-Diniyah di Wangsa Maju petang ini.

Muhyiddin yang juga timbalan pengerusi BN berkata program transformasi termasuk bantuan kepada rakyat membuktikan kerajaan memberi perhatian kepada semua kelompok tanpa pengecualian.

Oleh yang demikian, beliau berkata sokongan rakyat meningkat secara mendadak dan semangat mereka berkobar-kobar untuk melihat dasar tersebut diteruskan selepas pilihan umum nanti.

ADS