Ibrahim Ali akan dedah rahsia mengejutkan

Dua 'rahsia' yang boleh 'mengejutkan' rakyat Malaysia akan didedahkan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali selepas hari penamaan calon pilihan raya umum ke-13.

Katanya rahsia tentang pemilikan aset pemimpin pembangkang tertentu dan tentang kerjasama antara parti-parti pembangkang itu, boleh menggugat keyakinan para penyokong terhadap parti pembangkang.

"Saya mempunyai maklumat tentang dua rahsia ini iaitu berhubung masalah kerjasama antara PAS, DAP dan PKR serta maklumat tentang pemimpin tertentu yang menguasai aset tertentu dalam pakatan pembangkang tetapi tidak boleh didedahkan sekarang...dua perkara itu juga dijangka mampu mengejutkan rakyat Malaysia.

"Saya akan serahkan maklumat itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin pada malam esok dan terpulang pada beliau (Perdana Menteri) sama ada akan mendedahkannya atau tidak.

"Namun saya sendiri akan mendedahkannya sekiranya beliau tidak berbuat demikian. Saya berani pikul tanggungjawab itu," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Beliau sebelum itu membuat laporan polis berhubung kewujudan akaun Facebook palsu yang menggunakan namanya untuk menghantar berita-berita tidak benar mengenainya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur, hari ini.

Ibrahim juga mengesahkan bahawa beliau akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas, Kelantan, namun masih merahsiakan nama parti politik yang akan diwakilinya.

Beliau berkeyakinan tinggi Barisan Nasional (BN) dapat menubuhkan kerajaan di Kelantan kerana pemerintahan PAS selama 23 tahun tidak menunjukkan prestasi yang baik.

Ibrahim juga yakin rakyat Kelantan yang berada di Selangor dan Kuala Lumpur sudah dapat menentukan kepimpinan yang bakal dipilih untuk mentadbir Kelantan di masa akan datang.

Berhubung laporan polis yang dibuatnya petang ini, Ibrahim menggesa pihak polis mengambil tindakan sewajarnya dan seterusnya merujuk kes itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti dalang yang bertanggungjawab.

"Tindakan ini dilihat cuba untuk mensabotaj saya... saya buat laporan ini bagi melindungi diri saya sebab macam-macam perkara boleh dikeluarkan dalam akaun ini dan mungkin boleh mengelirukan orang ramai memandangkan pilihan raya sudah hampir," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.