BN cedok manifesto, kata pemimpin Pakatan

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mendakwa BN menciplak kandungan manifesto Pakatan Rakyat untuk dimasukkan dalam manifesto yang dibentang oleh perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam tadi.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PAS hari ini, Mustafa mendedahkan sekurang-kurangnya sembilan perkara yang didakwa dicedok daripada manifesto Pakatan.

NONEMustafa berkata BN hanya mengolah istilah tertentu dalam untuk membezakan antara kedua-dua manifesto tetapi "polisi yang dipinda mengikut cara kita".

Antara perkara yang dicedok daripada manifesto Pakatan itu, dakwa Mustafa, adalah janji untuk mengurangkan harga kereta secara berperingkat antara 20 hingga 30 peratus serta meningkatkan daya saing kereta nasional.

Manifesto Pakatan pula, katanya, menawarkan untuk menghapuskan cukai eksais kereta dalam tempoh lima tahun agar harga kereta lebih berdaya saing serta membolehkan kereta dikeluarkan dengan harga serendah RM25,000 sebuah.

Selain itu, BN juga berjanji untuk membina 1,000,000 rumah mampu milik termasuk 500,000 rumah melalui skim Perumahan Rakyat 1Malaysia.

Beliau membandingkan janji berkenaan dengan tawaran untuk membina 150,000 rumah akan dibina dalam akategori kos rendah, sederhana dalam tempoh penggal pertama pentadbiran Pakatan Rakyat.

bn manifesto launch 060413 02Selain itu, BN juga berjanji untuk meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan sehingga melebihi 20 peratus daripada perolehan minyak dan gas daripada Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Dalam manifesto Pakatan pula, bayaran royalti itu kepada negeri pengeluar minyak dan gas itu ditawarkan untuk dinaikkan dari 5 peratus ke 20 peratus.

"Ini beberapa perkara yang disebut. Apa yang disebut dalam manifesto dalam manifesto BN banyak persamaan, bukan sahaja kebetulan tapi diceduk daripada manifesto Pakatan," katanya.

Sementara itu, naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar dalam satu sidang media berasingan hari ini berkata, beliau melihat bahawa manifesto yang diumumkan tidak disalin bulat-bulat daripada tawaran Pakatan tetapi cuba mengetengahkan tawaran “populis, tanpa perubahan fundamental”.


NONE“Ini adalah plagiarisme dalam definisinya yang jelas. Manifesto itu populis, tetapi tercicir perkara yang lebih utama, iaitu reformasi fundamental,” katanya dalam ucapan selepas acara pemeriksaan kesihatan di kawasan Lembah Pantai hari ini.

Di sisi DAP pula, setiausaha organisasi kebangsaannya Anthony Loke berpendapat pengumuman Najib untuk meningkatkan bayaran melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada RM1,200 akan turut meningkatkan peruntukan untuk bantuan berkenaan kepada kira-kira RM6 bilion.

Loke dalam laporan The Star hari ini berkata, Pakatan sebaliknya menawarkan bantuan tunai kepada warga emas sebagai tanda penghargaan.

"Bila BN mengkritik kita bahawa pembangkang akan membankrapkan negara dengan manifesto kami, mereka sepatutnya melihat diri sendiri," katanya seperti dipetik dalam laporan itu.


 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.