Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang tukang kebun kesal dengan kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mendakwanya sebagai warganegara Myanmar yang menerima kad pengenalan Malaysia dan menjadi pengundi hantu pada pilihan raya.

Sehubungan itu, Ramli Ahmad, 48, membuat laporan di Balai Polis Alor Setar pada 11.44 malam semalam sejurus mengetahui perkara berkenaan.

"Saya terkejut apabila seorang lelaki Cina datang ke rumah dan menunjukkan sebuah akhbar Cina edisi malam yang memaparkan tentang saya sebagai seorang warganegara Myanmar yang datang ke Malaysia pada tahun 1993.

"Kalau saya warganegara Myanmar, macam mana saya boleh ada surat beranak dan kad pengenalan Malaysia yang jelas menunjukkan bahawa saya lahir di Pengkalan Kundor," katanya pada sidang akhbar di pejabat MCA di Alor Setar hari ini.

Beliau sudah tujuh tahun bertugas di Wisma Darul Aman dan pernah mengundi di Parlimen Kuala Kedah pada 2004 serta Parlimen Alor Setar pada 2008.

Ramli berkata punca pertikaian status kewarganegaraannya mungkin disebabkan beliau memiliki sijil pengesahan perakuan taraf kewarganegaraan yang dikeluarkan pada 22 Dis 1993.

"Saya mendapat sijil itu kerana sijil kelahiran asal telah hilang dalam satu kebakaran," katanya.

Ramli berkata laporan polis dibuat bagi membersihkan nama beliau kerana tuduhan yang dilempar itu bukan sahaja boleh menjatuhkan maruahnya dan keluarga malah boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat.

Sementara itu, Setiausaha Sulit Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Loh Eng Chong berkata selepas melihat kenyataan akhbar berkaitan perkara berkenaan, beliau terus membuat pemeriksaan sebelum ke rumah Ramli bagi mendapatkan penjelasan.

"Saya ke rumah Ramli untuk memberitahu mengenai perkara ini dengan membawa surat khabar Cina edisi malam yang memaparkan Ramli adalah seorang pendatang asing dari Myanmar. Ramli berada dalam keadaan terkejut kerana beliau tidak tahu bagaimana butiran peribadinya boleh berada dengan pihak berkenaan," katanya.

- Bernama

ADS