Timbalan pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad berkata Pakatan Rakyat sukar untuk bekerjasama dengan Parti Hak Asasi (HRP) yang bercadang untuk bertanding di kawasan yang dikuasai parti tersebut di Selangor dalam pilihan raya umum akan datang.
Khalid berkata, perjuangan Pakatan Rakyat berbeza dengan HRP, yang ditubuhkan dari serpihan kumpulan pendesak Hindraf.
"Mereka (HRP) hanya memperjuangkan satu bangsa sahaja iaitu kaum India. Berbeza dengan PAS, DAP dan PKR. Kami berjuang untuk semua kaum," katanya dalam satu sidang media di Shah Alam hari ini.
Beliau mengulas pengumuman bendahari HRP, A Sugumaran pada minggu lalu bahawa parti itu akan bertanding di kerusi parlimen Kota Raja, Kelana Jaya dan Kuala Selangor.
HRP juga akan bertanding di lima kerusi DUN dalam kawasan parlimen tersebut ialah Seri Andalas, Sri Muda, Seri Setia, Bukit Melawati dan Ijok.
Selain HRP, penyandang kerusi parlimen Kulim Bandar Baru Zulkifli Noordin turut diuar-uarkan akan bertanding di Selangor.
Dalam sidang media sama hari ini, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Othman berkata, beliau tidak gentar sekiranya mana-mana parti ingin bertanding di Selangor.
Beliau turut mengalu-alukan kedatangan Zulkifli atau mana-mana parti yang ingin bertanding di negeri itu.
"Selamat datang (Zulkifli Noordin). Kita tak kisah siapa-siapa pun nak bertanding di alu-alukan," katanya.
