Timbalan presiden PKR Azmin Ali berkata pemimpin Pakatan Rakyat perlu membuat rundingan lanjut berhubung beberapa kerusi sebelum parti itu dapat menyerahkan watikah kepada calon mereka untuk bertanding di Negeri Sembilan.
Azmin dalam sidang medianya pemimpin tertinggi Pakatan akan memuktamadkan perbincangan melibatkan "beberapa kerusi" itu dalam satu perbincangan khas petang ini.
"Ketua umum (Datuk Seri Anwar Ibrahim) umumkan masih ada satu atau dua kerusi kita perlu muktamadkan.
"Dan kita akan teruskan rundingan petang ini dan kita akan muktamadkan perkara ini," katanya pada sidang media selepas menyerahkan watikah kepada calon PKR dalam satu majlis pagi ini.
Selain calon Negeri Sembilan, PKR juga masih belum menyerahkan watikah untuk calon mereka bagi negeri Sabah dan Sarawak.
Menurut Azmin, calon bagi kerusi di Sabah dan Sarawak tidak hadir untuk menerima watikah kerana kekangan logistik, selain perlu memberi tumpuan untuk proses penamaan calon Sabtu ini.
Mengulas, proses rundingan kerusi Pakatan Rakyat yang memakan masa yang masih berlarutan merupakan petunjuk jelas kepada budaya muafakat dan musyawarah dalam Pakatan Rakyat.
"Saya akui ia ambil masa tambahan tetapi yang penting kekuatan kita adalah rundingan untuk capai kata sepakat.
"Bagi saya itu kekuatan, walapun ambil sedikit masa, kita bagi mesej yang penting, kekuatan Pakatan adalah berbincang dan capai kata sepakat," katanya.
Beliau turut mengumumkan PKR disahkan akan bertanding di 102 kerusi parlimen dengan 64 daripadanya kerusi di Semenanjung, 21 di Sabah, dan 17 di Sarawak.
Selain itu, PKR juga turut bertanding di 162 kerusi negeri, katanya.
