Lakukah 'Camar yang Pulang' ke Jempol?

Penyanyi Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin hari ini sah bertanding menentang mantan menteri besar, Tan Sri Isa Samad dari BN di kerusi parlimen Jempol.

Penamaan calon di di kompleks pejabat daerah dan tanah Jempol pagi tadi menyaksikan sebahagian daripada kira-kira 500 orang penyokong Aishah berarak ke pintu pagar pejabat kompleks.

Mereka membawa sepanduk gambar Aishah dengan tulisan 'Rakyat itu tuan', dan 'Berilah kami peluang berkhidmat untuk tuan'.

Namun Aishah, seorang selebriti yang sepatutnya sudah biasa dengan wartawan dan menjadi taruhan PAS untuk menjadi wakil golongan seniman di parlimen sering kali cuba mengelak dari sorotan lensa kamera media sewaktu menunggu untuk masuk ke pusat penamaan calon.

Lawannya, Isa, selain diiringi kira-kira 3,000 penyokongnya turut ditemani isteri, Bibi Sharliza Mohd Khalid dan dua orang anak perempuannya.

Pencadang Isa Samad pula adalah bekas ahli parlimen Jempol, Datuk Khalid Yunus.

Petanda sukar bagi Pakatan

Selaku ahli politik yang berpengalaman dan sudah melalui sekian banyak pilihan raya, Isa kelihatan tenang dan sentiasa tersenyum sepanjang proses penamaan calon - bermula dari pintu pagar pejabat daerah sehinggalah selesai pengumuman calon oleh pegawai pengurus.

Tidak dapat dinafikan, kewujudan tanah rancangan Felda Raja Alias 1 hingga 4 dalam kawasan parlimen Jempol sedikit sebanyak bakal memudahkan kempen Isa yang juga merupakan pengerusi Felda Global Venture.

Calon-calon dari Pakatan Rakyat dan BN masuk ke pusat penamaan menggunakan pintu pagar yang berbeza.

Calon-calon BN dan bebas menggunakan pintu utama kompleks sementara calon-calon Pakatan pula masuk menggunakan pintu kedua kompleks.

Namun, pintu calon Pakatan sedikit tidak selesa apabila jalan tarnya dipenuhi kerengga merah yang memanjat kaki dan tubuh penyokong serta wartawan yang berdiri setempat dan tidak bergerak-gerak.

Mungkin ia satu petanda bagi Pakatan yang akan berdepan laluan yang agak sukar dan tidak selesa bagi parlimen Jempol dan kerusi-kerusi dewan undangan negeri bawahnya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.