Dayang Ku Intan cabar Azalina di Pengerang

Setelah dua penggal memenangi kerusi Parlimen Pengerang tanpa bertanding, pilihan raya Umum kali ini menyaksikan penyandang kerusi itu Datuk Azalina Othman Said dicabar oleh penyanyi yang cukup popular pada era 80an Dayangku Intan.  
    
Selain Dayang yang mewakili PKR, Azalina juga akan dicabar oleh seorang calon bebas Mohd Azaman Johari.
    
Mengulas mengenai pertandingan tiga penjuru itu Azalina berkata, pertandingan itu menunjukkan negara ini mengamalkan demokrasi dengan sesiapa sahaja bebas untuk bertanding.
    
"Saya tidak khuatir... walaupun mereka menggunakan pelbagai isu termasuk isu Pengerang, namun kita yakin rakyat bijak menilai projek Rapid (Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia) yang kita jalankan.
    
"Ia telah banyak memberi peluang pekerjaan khususnya kepada golongan generasi muda di kawasan itu," katanya kepada Bernama.
    
Beliau turut melahirkan keyakinan calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Surat dan Penawar di bawah parlimen tersebut mampu mempertahankan kerusi itu.
    
Sementara itu, Dayang atau nama sebenarnya Tengku Intan Tengku Abdul Hamid berkata tujuan beliau bertanding adalah semata-mata berjuang untuk rakyat.
 
"Sebenarnya bidang seni dan politik ini tidak jauh beza, jika sebelum ini saya selama ini berjuang untuk anak-anak dan keluarga melalui seni, kali ini saya berjuang untuk rakyat melalui politik," katanya.
    
Katanya, beliau terharu kerana pucuk pimpinan PKR meletakkan keyakinan kepada golongan artis sepertinya untuk bertanding dalam pilihan raya kali ini.
    
Dayang, 48, yang mempunyai empat orang anak merupakan artis kedua dicalonkan untuk bertanding dalam PRU kali ini selain penyanyi Aishah yang bertanding di Parlimen Jempol, Negeri Sembilan dan Herman Tino di Parlimen Tanjung Karang, Selangor.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.