Bekas laksamana: Undi pos bukan lagi jaminan BN

Jika dahulu undi pos dianggap sebagai deposit tetap BN, kali ini keadaan mungkin berubah di Perak apabila Pakatan Rakyat menggunakan pendekatan baru meletakkan tokoh pasukan keselamatan sebagai calon pilihan raya bagi memperjuangkan nasib mereka.

"Insya-Allah berpandukan perkhidmatan, kenalan, kita tak buat aniaya pada warga TLDM (tentera laut), kita akan dapat sokongan dari TLDM ," kata bekas ketua staf logistik Markas Armada Tentera Laut Laksamana Pertama (B) Datuk Abdul Imran Abd Hamid, yang akan bertanding di Parlimen Lumut atas tiket PKR.

Berbeza dengan pilihan raya umum 2008, Pakatan kali ini membariskan empat tokoh bekas pemimpin keselamatan, termasuk seorang bekas pegawai kanan polis bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri Darul Ridzuan itu.

Dua daripadanya diletakkan di kawasan tentera dan dua lagi di kawasan biasa - strategi serampang dua mata yang dilihat bukan sahaja untuk mendapatkan undi kawasan setempat, tetapi membantu menaikkan imej secara keseluruhannya di negeri itu.

Selain Imran, PKR membariskan bekas pegawai pasukan keselamatan Mejar (B) Abdullah Masnan di DUN Pengkalan Hulu, dalam kawasan Grik - Parlimen yang mempunyai seramai 3,666 pengundi polis dan tentera.

DUN itu sebelum ini ditandingi oleh calon PKR Lee Sing Long yang kalah kepada bekas menteri besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali dengan majoriti 4,645 undi.

Manakala bekas pengarah siasatan jenayah Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari akan bertanding di Parlimen Larut dan Brigedier Jeneral (B) Hadi Abdul Khattab akan menggalas misi PKR di DUN Behrang. Kedua-duanya kawasan pengundi biasa.

Bagaimanapun, tugas paling berat dipikul oleh Imran kerana Lumut mempunyai seramai 13,287 pengundi pos berbanding 74,996 pengundi biasa. Jumlah ini mewakili hampir 18 peratus jumlah pengundi.

Dalam pilihan raya umum lalu, Pakatan mendapat 3,818 undi pos manakala BN pula mendapat 5,982 undi. Berlaku pertambahan undi pos hampir 3,500 orang di kawasan itu.

Keputusan besar pula bagaimanapun menunjukkan calon PKR Suwardi Sapuan tewas tipis di tangan penyandang kerusi itu, Datuk Seri Kong Cho Ha dengan majoriti hanya 298 undi. Kong akan bertanding sekali lagi kali ini. http://undi.info/perak/p/P74

Di atas kertas, sekiranya Imran dapat menaikkan sedikit sahaja sokongan tentera, sudah pasti Lumut akan dirampas oleh Pakatan dan beliau boleh melangkah masuk ke Dewan Rakyat dengan penuh bergaya.

Pemerhati politik berpendapat, seperti Abdullah, Imran yang berkhidmat sebagai tentera untuk tempoh yang panjang - 37 tahun -- mempunyai kelebihan kerana sebelum ini pernah bertugas di kawasan Lumut.

"(Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) tawar Parlimen Lumut ini kepada saya kerana dia kata mungkin pengaruh saya boleh membantu kemenangan di sana.

"(Tentera) tersangatlah sedar sekarang. Susah nak dipengaruhi. Ramai yang dah sedar dan tahu tentang kebocoran, rasuah. BN sekarang tak ada jaminan untuk menang dengan undi pos," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Wisma Keadilan Perak, Ipoh, Perak sebelum ini.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pakatan Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin mengakui bahawa dengan meletakkan bekas anggota keselamatan sebagai calon di empat kawasan tersebut merupakan salah satu strategi Pakatan untuk menarik undi tentera.

Katanya, selain calon yang diletakkan mempunyai ciri-ciri ketokohan dan kewibawaan dalam bidang masing-masing, ia juga sebagai satu pendekatan mesra kepada anggota keselamatan supaya tidak takut untuk mengundi Pakatan.

"Tokoh-tokoh ini berwibawa semasa mereka bertugas dahulu. Tak terpalit dengan isu rasuah dan semasa bertugas mereka dihormati. Jadi kita gabungkan nilai-nilai ini untuk tunjuk pada kalangan tentera, polis bahawa ada orang yang berwibawa boleh jadi pemimpin.

"Adanya mereka dalam Pakatan, sekurang-kurangnya akan beri ruang pada tentera bahawa mereka masih ada lagi harapan dan masa depan.

"Ini adalah pendekatan mesra Pakatan kepada polis dan tentera. Strategi untuk menarik kakitangan tentera ini mengundi Pakatan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.