Calon BN Alor Mengkudu sedia berdepan bekas ketua

Calon BN bagi kerusi DUN Alor Mengkudu, Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah tidak gentar, malah bersedia berdepan bekas ketuanya yang tampil sebagai calon bebas pada pilihan raya umum (PRU) kali ini.

Ketika ramai yang menanti pertembungan antara Sharifah Maznah dengan calon PAS Ahmad Yahaya ada PRU ke-13, muncul Fadzil Hanafi, bekas anggota Exco kerajaan Kedah sewaktu di bawah BN, sebagai calon bebas.

Sharifah Maznah pernah bekerja sebagai penyelia kanan kawasan Parlimen Alor Setar bersama Fadzil Hanafi, ketika itu berkhidmat sebagai Exco kerajaan negeri pada 1999 hingga 2004 dan menjadi anggota DUN Tanjung Seri selama dua penggal (1999-2008).

"Fadzil dulu ketika bertugas bersama-sama, dia baik dengan saya. Itu ketika di situ tapi diharapkan hubungan itu masih baik sebab kami berdua bertanding di tempat yang sama," katanya kepada Bernama.

Sharifah Maznah berkata beliau sudah bersedia dengan segala persiapan untuk berkempen dan ceramah.

"Saya dah mula kempen pada malam penamaan calon lagi, semalam sahaja dah dua tempat saya pergi, salah satunya di Taman Saga, saya bersyukur mendapat sambutan yang baik," katanya.

Ditanya mengenai perancangannya untuk DUN Alor Mengkudu, jika terpilih sebagai wakil rakyat kawasan itu pada PRU13, beliau berkata antara perkara penting yang perlu diberi penekanan adalah pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

"Di Alor Mengkudu ini, banyak perusahaan IKS bagi wanita, mereka ini beroperasi di rumah sahaja. Saya lihat ramai yang menceburi bidang ini tetapi mereka tidak mendapat bimbingan khusus bagi meningkatkan lagi mutu pengeluaran yang dihasilkan mereka. Mereka perlukan satu bengkel bagi mempertingkatkan lagi perusahaan IKS mereka," katanya.

Sharifah Maznah berkata satu pusat latihan bimbingan dan kolej komuniti juga perlu ditubuhkan untuk belia muda.

"Tempat bimbingan untuk orang muda kurang, mereka perlukan satu pusat untuk mereka berkumpul bersama, melakukan aktiviti bersama sambil memberi bimbingan kepada mereka.

"Begitu juga sebuah kolej komuniti sebab sini kawasan kampung, memang cantik kalau boleh dibuat di sini, sebab dekat sini tiada apa yang dibuat untuk belia di kawasan ini," katanya.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.