Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS DUN Sungai Limau - yang diwakili Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak - mahu memastikan bekas ahli PAS yang bertanding atas tiket Bebas akan hilang wang deposit dalam pilihan raya DUN itu pada 5 Mei ini.

Seorang pemimpin Majlis Tindakan DUN (MTD) yang enggan namanya disebut, mendakwa bahawa calon Bebas - Abdullah Hashim - berbuat demikian bagi menimbulkan persepsi "perpecahan" dalam kawasan itu.

NONE "Dia (Abdullah) wajib hilang wang deposit. Orang kampung tahu peribadinya. Pengaruhnya tidak ada. Dia (bertanding) nak pecah undi PAS," katanya.

Pemimpin MTD itu berkata beliau difahamkan seorang lagi calon Bebas Sobri Ahmad yang sebelum ini ahli Umno.

"BN pula tarik sepupu Ustaz Azizan. Mereka nak main isu (dalam keluarga pun tak setuju). Tapi beliau dah jawab, air dicincang tak akan putus," tegas ahli jawatankuasa MTD Sungai Limau itu.

Ditemui di markas unit peti undi (UPU) di Ulu Sedaka bersama beberapa lagi rakannya semalam, pemimpin tempatan PAS itu berpendapat hasrat Abdullah bertanding calon Bebas bagi "menggambarkan situasi pepecahan" anggota PAS di kawasan itu.

"Hakikat sebenarnya ia (situasi itu) tidak berlaku. Kami tidak tergugat pun. Orang kenal peribadinya (Abdullah)," tambahnya sambil seorang lagi rakannya mendakwa Abdullah pernah menyertai Umno dan Semangat 46 sebelum menyertai PAS.

NONE Malah, dakwaan yang menyatakan Abdullah - yang dilapor dipecat Isnin lalu bersama tiga lagi wakilnya - mempunyai pengaruh, turut dinafikan oleh ahli jawatankuasa Majlis Tindakan DUN (MTD) itu.

Dalam pilihan raya umum 5 Mei ini, Azizan akan berdepan dalam persaingan empat penjuru dengan calon BN Mohd Fazillah Mohd Ali, dan dua calon Bebas itu.

Azizan mempertahankan kerusi DUN tersebut - sebelum ini dikenali sebagai DUN Sala - buat kali kelima berturut-turut sejak 1995. Pada 2008, beliau yang juga pesuruhjaya PAS Kedah menang dengan majoriti 3,212 undi.

Kali ini, DUN Sungai Limau mempunyai 27,343 pengundi yang terdiri 92.5 peratus Melayu, 7.4 peratus Cina dan 0.03 peratus India.

NONE Ditanya mengenai peluang Azizan mempertahankan kubu kuat itu, pemimpin MTD itu berkata pihaknya yakin PAS akan mempertahankan kerusi DUN itu dengan unjuran majoriti kira-kira 5,000 undi.

Malah, pihaknya menjangka pertambahan sokongan di semua 16 UPU dalam DUN tersebut kali ini selepas mereka menang 15 UPU kecuali di UPU Dulang Kecil - yang sememangnya menjadi kubu kuat BN di situ.

Menurutnya, faktor sokongan pengundi Cina dan pengundi muda yang bermaklumat menambahkan lagi peluang kemenangan PAS di kerusi tersebut.

"Sebelum 2008, orang Cina tak boleh (beri sokongan). Sekarang, siap panggil kita buat ceramah di tempat dia lagi. Guna premis dia.

"Dulu tak mahu sembang politik, sekarang (mereka) sembang politik terang-terangan," kata pemimpin itu lagi

ADS