'PAS Kedah kerja keras, BN tak mengalah'

Sekalipun mensasarkan kemenangan 20 daripada 24 kerusi yang ditandinginya, PAS Kedah perlu bekerja lebih keras memandangkan BN dilihat tidak mengalah untuk merampas semula negeri ini, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Beliau melihat bahawa BN kini menggunakan seluruh kekuatan mereka termasuk menggunakan khidmat mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan agensi di bawah kerajaan pusat.

"Apabila BN masih lagi memegang tampuk di Putrajaya, mereka rasa masih lagi ada kekuatan untuk ambil semula Kedah... Jadi mereka merasakan mempunyai peluang untuk ambil alih (pentadbiran Kedah). Saya lihat mereka tidak mengalah.

"Kita mengambil sikap 'underdog'. Kita juga tidak boleh terlalu yakin. Kita perlu bekerja keras dan tidak boleh ambil sambil lewa. BN menggerakkan sudah pasti menggerakkan seluruh kekuatan sebab mereka kalah," katanya ketika ditemui Malaysiakini, malam Sabtu lalu.

Menurutnya lagi, BN turut meletakkan harapan untuk memenangi sekurang-kurangnya majoriti mudah 19 daripada 36 kerusi DUN memandangkan kekalahan tipis di lima kerusi ditandingi mereka.

BN menang 14 kerusi DUN dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

"Tetapi ada kerusi yang BN menang juga dengan majoriti tipis juga. Tidak hanya di sebelah kita sahaja. Jadi kedua-duanya (PAS dan BN) ada peluang masing-masing. Pakatan Rakyat bertarung dengan keyakinan (tinggi)," katanya.

Beliau yang akan mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Kundor berkata tidak mustahil Pakatan Rakyat mendapat mandat dua pertiga – sekurang-kurangnya 24 kerusi DUN – dalam pilihan raya umum kali ini apabila kemenangan turut disumbang oleh PKR dan DAP.

PKR kali ini bertanding 10 kerusi DUN manakala DAP bertanding dua kerusi iaitu di Derga dan Kota Darulaman.

Penilaian beliau itu berdasarkan kepada perkembangan semasa khususnya lonjakan sambutan masyarakat kaum Cina kepada Pakatan Rakyat yang menurutnya "mahukan perubahan dan menyatakan sokongan secara terbuka" kepada Pakatan.

Menurutnya, pada 2008 masyarakat Cina memberi sokongan sekitar 50 peratus, tetapi menjelang pilihan raya umum kali ini, tambahnya sokongan itu meningkat antara 20 hingga 30 peratus.

"Indikasinya melalui perjumpaan dengan mereka (Cina), kumpulan NGO bukan (kaum) Cina yang menyatakan sokongan kepada kita. Ini petunjuk yang ada.

"Kita mengadakan pertemuan dengan Dewan Perhimpunan Cina (yang mana) memainkan peranan yang lebih tersusun dan menjadi jambatan dengan kerajaan," katanya.

Mengulas cakap-cakap sesetengah pengundi Cina khususnya di kalangan komuniti peniaga di negeri itu akan mengundi BN di peringkat DUN tetapi menyokong Pakatan di parlimen, Phahrolrazi mengakui beliau ada mendengar perkara itu.

Yang dipertua PAS Kuala Kedah itu juga berkata perkara tersebut timbul ekoran wujudnya rasa tidak berpuas hati dengan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri dan beliau menyifatnya sebagai khabar angin sahaja.

"Itu khabar angin yang saya dengar. Tetapi bila adanya gelombang perubahan yang hendak dibuat, bila parlimen dibubar, dan dah nak masuk pilihan raya, nampak mereka masih lagi berpegang kepada gelombang nak buat perubahan.

"Jadi isu itu nampak (kelemahan pentadbiran) dilitupi oleh gelombang tadi... (Mereka) lebih berkehendak kepada 'kami mahu berubah'. Itu gelombang yang besar daripada (isu) tadi," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.